• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

JBPM Sasar Pingat Di Kejohanan Bina Badan Dunia

Majlis amanat dan penyerahan pakaian sukan oleh PPjB Sobberi bin Basiran, Komandan ABPM Wilayah Timur kepada peserta bina badan bagi menyertai Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan, Mr Malaysia 2018.


KUALA TERENGGANU- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yakin lapan atlet  mereka mampu meraih pingat tanpa mengira warna pada Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan, Mr Malaysia 2018  yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 17 Ogos ini di Melaka.

Jurulatih pasukan bina badan JBPM, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB )Hasmadi Jusoh berkata, mereka bakal menggalas cabaran kontijen JBPM dan membawa pulang kejayaan melalui penyertaan buat julung kali ini.

Jelasnya, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu berdasarkan kesungguhan yang ditunjukkan anak buahnya ketika menjalani latihan yang turut diketuai bersama PgKB ll Alias Musa.

"Oleh itu pihak kami berusaha untuk latih semua atlet membuat persiapan terbaik bagi memastikan mereka berada di tahap terbaik menjelang kejohanan.

“Masih ada masa.. kami akan manfaatkan masa ini untuk buat persiapan terakhir bagi memastikan atlet kami bersedia sepenuhnya pada kejohanan nanti.

"Kalau boleh kita nak bomba serba boleh, kalau sebut sukan..orang dah gerun untuk bertanding kerana reputasinya yang bukan sahaja pandai bermain tetapi mempunyai tenaga dan stamina yang tinggi sekali gus membawa imej yang baik kepada JBPM," katanya kepada pemberita ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman, di sini,  hari ini.

Hasmadi berkata. JBPM sememangnya merasa gembira dengan penyertaan anggota bomba agar mereka terlibat dalam aktiviti sukan bagi meningkatkan produktiviti mereka dan melahirkan modal insan yang berkualiti.

Sementara itu, dua anggota bomba dari BBP Kuala Terengganu, PB Ezam Aziery Mamat dan PB Yusri Yong merupakan antara lapan atlet yang akan berentap di kejohanan tersebut.

Bagi PB Ezam Aziery, beliau bersiap sedia untuk menyertai kejohanan ini buat pertama kali dan berusaha untuk membawa balik kejayaan terutama bagi pihak JBPM.

"Setakat ini saya sudah buat semua persiapan dari segi mental dan fizikal melalui latihan yang rapi tanpa menjejaskan kerja sebagai anggota sebab saya bawa nama bomba sebenarnya.

"Saya kena bijak bahagikan masa, untuk kerja dan latihan supaya tidak berlaku pertindihan lagi pun kerja ikut masa lebih memudahkan untuk lakukan latihan secara konsisten dan bawa balik pingat untuk JBPM," katanya.

Tag: