• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Jelaskan Segera Bayaran Premium Tanah

DUNGUN, 20 Mac - Penerima Borang 5A  Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dinasihatkan supaya melangsaikan segera bayaran harga premium tanah untuk mengelakkan tanah yang disebut dalam borang itu diambil balik. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata kerajaan sudah berusaha menunaikan janji untuk memberi tanah kepada rakyat.

"Jadi sekarang tanggungjawab penerima membayar harga premium tanah, iaitu 10 peratus daripada harga tanah di pasaran, cubalah bayar, 

"Kalau rasa tidak boleh bayar dalam tempoh yang ditetapkan, berbincanglah dengan pegawai di pejabat tanah dan daerah, jangan sampai tanah ini diambil balik," katanya lagi.

Rosnani (kanan).

Alias berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Borang 5A RTB ByPass Batu Tiong Mukim Kuala Dungun DUN Rantau Abang di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam. 

Sementara itu, seorang suri rumah yang ditemui selepas majlis tersebut, Siti Nor Fasihah Shikh Zahurin, 26, berkata apabila diberitahu surat permohonannya untuk memiliki tanah berjaya, dia mula menyimpan duit.

"Suami bekerja sebagai tukang gunting, jadi memang kena berjimat cermat dan saya sanggup menjual barang kemas yang dipakai semata-mata untuk menjelaskan premium tanah, asalkan dapat geran tanah," ujar  yang kini tinggal bersama nenek suaminya di Padang Midin.

Bagi Rosnani Abdullah, 51, hidup menumpang di tanah orang sejak berumur sembilan tahun tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya apabila diberitahu berita gembira itu. 

"Memang tidak disangka-sangka akan miliki tanah sendiri, mestilah cuba sungguh untuk cari duit untuk bayar, kena banyak berjimat belanja, tambahan pula suami kerja buruh, harga barang pula mahal sekarang ini," ujarnya lagi. 


Tag: