• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Jemaah Perlu Bersyukur Berpeluang Menjadi Tetamu Allah


Oleh : Safwan Syakir

KUALA NERUS, 12 Julai -Jemaah yang terpilih untuk menunaikan haji perlu bersyukur kerana ditakdirkan menjadi Tetamu Allah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, betapa hebat dan bertuahnya kerana terpilih untuk berada di rumah Allah dan mengerjakan rukun Islam yang kelima iaitu fardhu haji.

“Peluang ini hanya datang sekali seumur hidup walaupun kita punyai duit banyak, tetapi ia belum tentu dapat dijejaki setiap tahun atas faktor kouta haji dan giliran yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Program Meraikan Bakal Haji 2019 peringkat Dun Bukit Tunggal di Masjid Kampung Tebauk semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah MTD Bukit Tunggal, Harun Salleh dan Pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Dalam majlis tersebut seramai 47 orang bakal haji terdiri daripada 22 lelaki dan 25 wanita daripada Dun Bukit Tunggal menerima sumbangan sebagai tanda ingatan daripada pihak MTD.

Tambahnya Alias lagi, jemaah haji perlu manfaatkan setiap detik masa disana dengan amalan yang mendekatkan diri padaNya serta menjauhkan diri daripada perkara yang sia-sia agar urusan hidup diberkati.

“Ibadah haji juga menuntut kesabaran dalam diri sewaktu bertolak sampailah selesai mengerjakanya dengan ujian-ujian seperti pemeriksaan imigresen dan kesesakan jemaah sewaktu di tanah suci,” jelasnya yang turut mendoakan kesejahteraan buat para jemaah dan memperolehi haji yang mabrur.

Tag: