• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

JHEAT Awasi ‘Geng Plastik Hitam’

KUALA TERENGGANU,14 Mac – “Hati-hati  'Geng plastik hitam' yang tidak berpuasa, anda kini dalam 'radar' Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sepanjang Ramadan ini,” ujar Pesuruhjayanya, M. Rozi Bidin.

Beliau berkata pihaknya akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi kesalahan tidak menghormati Ramadan, terutama terhadap mereka yang ponteng puasa dengan menggerakkan pasukan penguatkuasa syariah di seluruh Terengganu

Menurutnya, individu khususnya beragama Islam yang sengaja makan dan minum secara terbuka di khalayak ramai akan diambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan Undang-Undang Kesalahan Syariah.

"Kesalahan menjual makanan kepada golongan berpuasa adalah melanggar peraturan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 (Seksyen 19).

"Jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi pemberita.

Beliau berkata, bahagian Penguatkuasaan JHEAT dan Unit Penguatkuasaan di setiap daerah juga sentiasa memantau kawasan-kawasan serta kedai-kedai makanan yang dilaporkan menjalankan aktiviti menjual makanan dan minuman kepada ‘geng plastik hitam’.

Justeru itu, semua umat Islam di negeri Terengganu dinasihatkan untuk melipatgandakan ibadah pada bulan ini serta menjauhkan diri dari terjebak dengan jenayah syariah terutamanya dalam kesalahan tidak menghormati Ramadan.

Tahun lalu, JHEAT merekodkan dua tangkapan membabitkan geng plastik hitam iaitu masing-masing satu kes di Besut dan di Kuala Nerus.