Berita :
JKDM Terengganu Tumpaskan Sindiket Rokok Seludup, Rampasan Lebih RM807,000
JKDM Terengganu Tumpaskan Sindiket Rokok Seludup, Rampasan Lebih RM807,000
Ahmad Zaeem Zainudin
21 jam yang lepas
64

KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok seludup menerusi empat siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Terengganu dan Kelantan dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM807,718.12, termasuk duti dan cukai.

Pengarah JKDM Terengganu, Hasbollah Din berkata, kejayaan itu dicapai hasil beberapa operasi yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Terengganu dalam membanteras kegiatan penyeludupan rokok tidak berkastam.

"Sidang media ini bertujuan untuk berkongsi dengan orang ramai mengenai kejayaan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu dalam melaksanakan beberapa siri operasi yang berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok,

"- disyaki tak berkastam yang melibatkan rampasan rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan termasuk duti cukai sebanyak RM807,718.12 berserta penyitaan kenderaan yang digunakan dalam aktiviti tersebut," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Terengganu, pagi tadi.

Menurut beliau, kes pertama melibatkan rampasan 200,000 batang rokok putih yang disyaki tidak berkastam dengan nilai keseluruhan sitaan termasuk duti dan cukai berjumlah RM182,600 di Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan pada 25 April lalu.

"Bertindak atas maklumat, pasukan penguatkuasaan Marin JKDM Terengganu telah menjejaki sebuah kenderaan yang disyaki mengangkut rokok seludup di tebing sungai Kelantan di sekitar kawasan Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan.

"Kenderaan tersebut kemudiannya berjaya dikesan di sekitar kawasan Pasir pekan, kota bharu, Kelantan. Pasukan penguatkuasaan telah mengekori kenderaan berkenaan dan cuba menahannya bagi tujuan pemeriksaan. 

"Walau bagaimanapun, pemandu kenderaan tersebut bertindak agresif dengan melarikan diri sehingga merempuh penghadang Jalan sebelum meninggalkan kenderaan tersebut di kawasan wakaf baru," jelasnya kepada pemberita.

Dalam operasi kedua di Besut pada 16 April lalu pula, JKDM berjaya menahan dua individu yang sedang memindahkan rokok disyaki tidak berkastam dari sebuah kereta ke sebuah lagi kenderaan di sebuah premis kedai runcit.

Rampasan itu membabitkan 10,000 batang rokok dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai sebanyak RM9,020, manakala kedua-dua suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Besut pada 22 April lalu.

Sementara itu, operasi ketiga menerusi Ops Peteh 2026 di sebuah tapak pembinaan terbiar di Besut menemukan 400,000 batang rokok putih yang disimpan di dalam sebuah kabin, dengan jumlah nilai sitaan termasuk duti dan cukai sebanyak RM321,200.

Dalam operasi berasingan di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Mei lalu, pasukan penguat kuasa turut merampas 334,736 batang rokok putih dan kretek yang disimpan di sebuah premis kediaman serta di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Rampasan itu dianggarkan bernilai keseluruhan RM294,898.12, termasuk duti dan cukai, manakala kedua-dua kes berkenaan masih dalam siasatan.

Tambah Hasbollah, sindiket menggunakan pelbagai taktik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, termasuk menjadikan rumah kediaman, kabin tapak pembinaan, premis perniagaan serta kenderaan sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran rokok seludup.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM.

"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat di sesebuah negeri.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," tegas beliau.


Ketupat

Artikel Berkaitan