• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

JKM Bantu Pesakit Kaki Gajah Di Chendering


Zainal (kanan) melihat keadaan Eizan menghidap Morbid Obesity di rumahnya di Taman Permint Jaya, Chendering, Kuala Terengganu. Foto oleh Harish Fadzillah Kassim

Penderitaan seorang wanita yang mengalami jangkitan kuman pada lapisan kulit atau cellulitis sehingga mengakibatkan kaki dan tangan membengkak seperti kaki gajah, mendapat perhatian dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Terengganu.

Akibat penyakit itu, kehidupan Eizan Nadia Zainuddin, 39, yang turut menghidap Morbid Obesity terjejas serta perlu mendapat rawatan secara intensif.

Pegawai JKM Kuala Terengganu, Zainal Omar berkata, Eizan boleh diklasifikasikan sebagai pesakit  kronik kerana mempunyai berat badan 190 kilogram (kg) dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat, selain mengalami masalah kesukaran bernafas ketika tidur.

Katanya, JKM memandang serius kes itu dan akan meluluskan segera bantuan bulanan sebanyak RM450 bagi meringankan beban yang ditanggungnya.

Tambahnya, JKM juga akan melihat sumbangan lain yang sewajarnya termasuk bantuan bulanan RM300 untuk penjaga pesakit berkenaan.

“Kes itu juga akan dirujuk kepada Tabung Darul Iman sebagai usaha menampung perbelanjaan rawatan yang dianggarkan RM400 hingga RM500 sebulan dan kos pembedahan yang mencecah hampir RM1,000,” katanya.


Sementara itu, Eizan yang pernah bekerja di butik pengantin di Kuala Lumpur, berkata dia diserang cellulitis pada 2014 selepas luka pada tumit akibat terkena besi.

“Sejak itu, kaki terutama sebelah kanan semakin membengkak sehingga terpaksa dirujuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya selama dua minggu, selain terlantar di hospital yang sama selama sembilan bulan.

“Pada masa sama, saya terpaksa menjalani empat kali pembedahan untuk membuang air dan lemak dalam badan sepanjang tempoh tiga tahun,”katanya.

Eizan berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Biro Media Awam Komunikasi UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Ahmad Zamri Sulong di rumahnya di Taman Permint Jaya, Chendering, Kuala Terengganu.

Katanya, sepanjang mendapat rawatan, berat badannya turun 60 kilogram (kg) kepada 190 kg, berbanding berat asal 250 kg.

“Saya pulang ke Terengganu selepas dapat berjalan menggunakan tongkat dan ketika ini masih mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan,”katanya.

Katanya, dia memerlukan sekurang-kurang RM400  sehingga RM500 sebulan untuk rawatan susulan dan berkemungkinan akan menjalani  pembedahan buat  kali kelima pada bulan depan.

“Kos pembedahan dianggarkan mencecah hampir RM1,000. Nilai itu cukup besar, kerana saya tidak mampu bekerja, semuanya ditanggung ayah dan ibu di mana kedua-duanya sudah bersara,”katanya.




Tag: