• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

JKM Laksana Program Pendampingan Sosial Bantu Warga Emas

Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali

HULU TERENGGANU, 8 Jun - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Terengganu bersama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil telah bergotong-royong membersihkan rumah seorang klien JKM, Muhammad Adnan Abdullah, 59, di Kampung Peris, Ajil pada kelmarin.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Zaidi Zulkifli, 38, menyatakan bahawa program yang dikenali sebagai Program Pendampingan Sosial, telah lama dijalankan bagi mendekati masyarakat yang memerlukan bantuan.

"Program ini adalah konsep utama bagi kami untuk lebih mendekati masyarakat setempat yang dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan.

"Kami akan terus mencari mereka yang memerlukan bantuan di setiap kampung supaya mereka tidak merasa tersisih. Kami ingin mereka merasa dihargai," katanya ketika ditemui pemberita pada program berkenaan.

Tambah Zaidi, program tersebut dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat, khususnya di Hulu Terengganu.

Menurutnya, seramai 26 orang sukarelawan hadir menjayakan program tersebut, termasuk 13 orang dari PKM ADUN Ajil, 10 orang dari JKM Hulu Terengganu, dan beberapa orang daripada masyarakat setempat.

 


Tag: