• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

JKNT Siapsiaga Hadapi Banjir


Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengambil langkah siapsiaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, JKNT telah bersedia dengan 137 pasukan, terdiri daripada 68 pasukan perubatan dan 69 pasukan kesihatan, dengan keseluruhan anggota yang terlibat adalah 641 orang dari seluruh negeri.

Katanya, setiap pasukan perubatan dianggotai oleh lima orang anggota yang terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih, jururawat masyarakat dan pemandu manakala setiap pasukan kesihatan dianggotai oleh tiga orang anggota iaitu penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu.

“Pasukan perubatan ini bersedia memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta rujukan sekiranya terdapat mangsa yang memerlukan di pusat pemindahan.

“Pasukan kesihatan pula akan bertindak menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi memantau, mengesan dan mengawal kejadian penyakit berjangkit akibat banjir,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dr Mohammad berkata, JKNT turut melatih anggota seramai 43 orang yang terdiri dari pelbagai kategori dalam latihan ‘water survival’ bagi menghadapi banjir.

“Anggota terlibat juga telah diarahkan untuk bersiap sedia dalam menghadapi kemungkinan banjir serta cuti akan dibekukan apabila perlu.

“Pihak jabatan juga telah mengarahkan semua hospital dan klinik kesihatan diseluruh negeri untuk menyediakan bekalan ubatan dan peralatan yang mencukupi serta ambulans berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” katanya.

Katanya, bagi fasiliti kesihatan yang berisiko banjir, tindakan proaktif telah diambil bagi mengenalpasti fasiliti sementara yang boleh digunakan sekiranya perkhidmatan perlu dipindahkan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.

Justeru itu katanya, JKNT menasihatkan orang ramai mengambil langkah-langkah keselamatan antaranya bagi orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir hendaklah sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan-arahan pihak berwajib, khususnya keperluan untuk berpindah awal.

“Sentiasa awasi anak-anak supaya tidak bermain air banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian penyakit berjangkit berkaitan banjir seperti penyakit  Leptospirosis (jangkitan air kencing tikus), meloidosis, dan lain-lain penyakit bawaan air dan makanan.

“Mangsa banjir juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri semasa banjir iaitu dengan membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan, selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan (sewage),” ujarnya.

Katanya, golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita mengandung, wargatua serta mereka yang mengidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan supaya bersiap sedia dengan bekalan ubatan yang mencukupi dan disimpan ditempat-tempat yang selamat dan mudah dicapai ketika banjir.

Tag: