• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

JKNT Tutup Tiga Premis Makanan Kerana Kotor

KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengarahkan tiga premis makanan ditutup selama tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih.

Pengarah Kesihatan Negeri,
Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesalahan itu dikesan melalui operasi khas Ops Cakna yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.

Katanya, penutupan tiga premis makanan tersebut yang terletak di Marang, Kemaman dan Hulu Terengganu dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana beroperasi dalam keadaan kebersihan yang tidak memuaskan.

"Melalui ops itu juga, sebanyak 13 premis makanan telah dibuat pemeriksaan dan siasatan mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

"Sebanyak 21 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai notis RM9,300.

"Tahap kebersihan tiga premis makanan itu pula dikesan tidak memuaskan dan telah diarah ditutup selama tempoh 14 hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk di sini semalam.

Seramai 120 anggota penguatkuasa dari seluruh Terengganu terlibat dalam operasi tersebut yang dilakukan secara berkala dengan kerjasama agensi penguatkuasaan yang lain.

Dalam masa sama, sebanyak 111 item makanan telah disita manakala empat notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 dengan nilai RM8,000.

"Kita menasihatkan pengendali makanan agar terus mematuhi peraturan kebersihan untuk memastikan keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai," katanya.

Tambahnya, sejak Januari hingga Mei lepas, sebanyak 1,407 notis bagi PPKM 2009 telah dikeluarkan di seluruh Terengganu, meningkat 62 peratus berbanding 870 notis bagi tempoh yang sama tahun 2023.