• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Johan Tilawah Al-Quran Marang Tidak Lupa Jasa Nenek

Oleh : Abay Cik / Mohd Fauzi Mat Adam

MARANG, 18 Januari - Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Marang, Wan Amirul Shamnie Wan Rosli tidak lupa jasa nenek dan ibu bapa yang gigih membimbingnya mendalami al-Quran sejak kecil sehingga timbul minat yang mendalam bagi menguasai bacaan kitab suci itu.

Amirul yang juga merupakan Pembantu Hal Ehwal Agama di Masjid Khalifah Kuala Terengganu berkata, usaha gigih sejak kecil itu telah membuahkan hasil apabila muncul johan Majlis Tilawah al-Quran peringkat daerah sekali gus melayakkan diri ke peringkat negeri.

"Alhamudlillah, kemenangan ini amat bermakna dan ini adalah usaha gigih sejak kecil lagi apabila didedahkan oleh nenak serta kedua-dua orang tua saya sehingga timbul minat yang begitu mendalam.

"Di peringkat seterusnya nanti, saya ingin melakukan yang terbaik untuk terus mengharumkan nama Daerah Marang," ujarnya ketika ditemui pemberita, selepas dinobatkan sebagai juara dalam majlis tilawah al-Quran tersebut, di Masjid Kampung Sentul Patah, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong.

Dengan kemenangan itu, Amirul telah berjaya membawa pulang piala pusingan beserta piala iringan, serta wang tunai RM2,000 bersama sijil penyertaan.

Sementara itu bagi kategori Qariah pula, Nur Afifah Zaki dari Kampung Rawai telah menewaskan peserta-peserta lain.

Beliau yang merupakan guru Sekolah Rendah di Lembah Klang juga bertekad mahu melakukan kejutan di peringkat negeri pada tahun ini dan tidak mahu hanya sekadar menjadi johan daerah.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata sudah menjadi tradisi setiap tahun bagi kerajaan negeri memilih Qari dan Qariah terbaik.

"Bukan sahaja yang menang tetapi boleh menguasai al-Quran secara keseluruhannya selain itu program ini juga bertujuan untuk menanam kecintaan kepada masyarakat dengan al-Quran daripada kalangan anak kecil sehingga ke peringkat yang tua demi melahirkan masyarakat yang terbaik," ujarnya,