• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

JPBD Hulu Terengganu, Skuad Radio Amatur Lancarkan Komunikasi Hadapi Banjir



Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah(JPBD) Hulu Terengganu dengan kerjasama skuad radio amatur akan memperluaskan komunikasi sedia ada mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lengkap bagi melancarkan perhubungan  ketika banjir berlaku di daerah ini.

Pengerusinya,Azmi Razik berkata, inisiatif itu bagi mengatasi kegagalan komunikasi disebabkan terputus hubungan antara tempat-tempat yang dilanda banjir terutamanya melibatkan bekalan makanan dan perubatan.

"Kita sebelum ini sudah  ada pasukan radio amatur di bawah pengurusan Pejabat Daerah dan kini akan perluaskan lagi penggunaannya dengan meletakkan petugas di semua pusat pemindahan yang ada.

"Apabila kita luaskan kedudukan pasukan radio amatur di setiap cawangan yang terlibat, tidak ada lagi masalah yang timbul seperti terputus bekalan makanan kerana masalah komunikasi dan menyebabkan kelewatan penghantaran bekalan berlaku,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penutup Program Simulasi Bencana Daerah Hulu Terengganu di Pusat Pemindahan Bencana, di Pusat Pemindahan Kaseh OKB di Kuala Berang, kelmarin.
Norazmy Adenan
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Terengganu(JKM), Norazmy Adenan berkata, terdapat 96 pusat pemindahan banjir di daerah ini yang boleh menampung kira-kira 12,000 mangsa banjir pada satu-satu masa.

"Setakat hari ini, semua tiga mini depo dan 48 pengkalan hadapan telah menerima bekalan makanan dan barangan keperluan mangsa banjir bermula 24 Oktober lalu.

"Ini termasuk 100 sukarelawan JKM terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan serta institusi pengajian tinggi yang sentiasa bersiap siaga menghadapi banjir bila diperlukan pada bila- bila masa,"katanya.




Tag: