• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

JPINT Buka Jalan Pelajar Sekolah Agama Negeri Sambung Pengajian di Luar

KUALA TERENGGANU, 29 April - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu telah  membuka laluan kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu bagi melanjutkan pengajian ke luar negara misalnya Algeria, UAE, Tunisia dan Jordan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, ini termasuk pelajar lepasan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) juga berpeluang menyambung pengajian ke Jordan dalam bidang Usuluddin dan juga Perbankan Islam selain ke Mesir dalam bidang Ulum Islamiyyah.

Katanya, murid lepasan SMIDI berpotensi menyambung pengajian peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) selama satu tahun pengajian seterusnya mendapatkan tempat di Kuliah, Al-Azhar dan Markaz Lughah di Mesir dan juga boleh mengambil Ijazah dalam bidang pengajian Islam
serta Bahasa Arab.

"Bagi pelajar lepasan Pusat Tafaquf Fi-Din pula diberi peluang menyambung pengajian bidang Turath di Al-Azhar As Syarif serta menyambung pengajian
Kursus Intensif Bahasa Arab selama dua tahun di Maahad Al-Azhar di bawah kelolaan Markaz Tatwir Al-Azhar.

"Selain itu, pelajar lepasan Pusat Tafaquf Fi-Din juga berpeluang menyambung pengajian di Maahad Bu'uth Al- Azhar serta mengikuti pengajian secara bertalaqqi dengan tenaga pengajar yang dilantik terus oleh JPINT di Mesir selama dua tahun," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (PAS- Buluh Gading) yang ingin tahu apakah peluang pendidikan dan kerjaya bagi lepasan pelajar SMIDI, Kolej Al-Quran Terengganu dan Pusat Tafaqquh Fi Din dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Tambahnya, pihak JPINT juga telah mengambil tindakan dengan memohon MQA bagi usaha pengiktirafan pensijilan Pusat Tafaquf Fi-Din Tok Sheikh Duyong.

"JPINT juga berkolaborasidengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi peluang pengajian di bidang Turath yang dikendalikan oleh
UPSI," katanya lagi.

Sementara itu, bagi lepasan pelajar Kolej Al-Quran Terengganu (KQT), mereka berpeluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah
sarjana muda di universiti awam dan swasta dalam negara seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UniversitiSultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan lain-lain.

"Ini termasuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti luar negara seperti The Wolrd Islamic Sciences Education University (WISE) Jordan dan Universiti Islam Madinah. 

"Antara peluang kerjaya yang ditawarkan jawatan di sektor kerajaan dan swasta sebagai guru harian di sekolah agama swasta dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Negeri Gred N29," ujarnya.


  


Tag: