Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bercadang memperkenalkan beberapa aktiviti baharu dalam membudayakan penjagaan kesihatan dan keselamatan di kalangan pelajar sekolah negeri ini, tahun hadapan.
Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin berkata, antara aktiviti itu seperti asas pertolongan cemas termasuk bantuan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR).
CPR ialah satu teknik untuk menyelamatkan nyawa yang digunakan ketika kecemasan apabila mangsa tidak bernafas dan nadi mangsa sudah tidak berdenyut.
“Tahun depan, kita akan perkenalkan teknik CPR kepada guru-guru terlebih dahulu, mungkin akan dibuat simulasi, diberi latihan dan disertakan video sebagai panduan untuk mereka aplikasikan sekiranya terdapat kecemasan melibatkan pelajar sekolah.
“Selain itu, latihan renang juga akan diperkenalkan JPNT kepada pelajar sekolah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat Bijak bertemakan ‘Safe and Protect’ di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, hari ini.
Tambah beliau, selain itu, turut diperkenalkan seni mempertahankan diri, pendedahan oleh pasukan bomba mengenai aspek keselamatan dan perlindungan diri apabila binatang berbisa memasuk kawasan sekolah juga akan dilaksanakan.
“Ini adalah antara perkara yang kita akan buat sebagai pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai aspek keselamatan dan perlindungan berdepan dengan situasi di luar jangka,” ujarnya.