Berita :
JPS Kemuka Pelan Mitigasi Tangani Hakisan Pantai, Laluan Nelayan Tok Jembal
JPS Kemuka Pelan Mitigasi Tangani Hakisan Pantai, Laluan Nelayan Tok Jembal
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
54

KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan Negeri memandang  serius  isu mendapan pasir yang menjejaskan laluan keluar masuk bot nelayan di pangkalan Tok Jembal serta masalah hakisan pantai yang mengancam kawasan perkuburan lama, Kubur Tok Jembal. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata sehubungan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu telah mengemukakan cadangan projek melibatkan kerja mitigasi hakisan dan pengurusan mendapan pasir di kawasan berkenaan. 

“Berdasarkan penilaian awal, anggaran kos sebanyak RM500,000 diperlukan bagi perlindungan kawasan perkuburan melalui kerja penambakan pasir dan pembinaan lapis lindung (rock revetment), manakala sebanyak RM1,000,000 lagi diperlukan bagi mengatasi masalah mendapan pasir yang menjejaskan laluan bot nelayan. 

“Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan ini dan akan mempertimbangkan penyediaan peruntukan khas tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa serta keutamaan projek,” ujarnya.

Beliau  berkata demikian di Sesi Pergulungan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu  pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Hanafiah berkata, cadangan projek turut diperincikan untuk dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia serta Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu bagi mendapatkan pertimbangan bantuan peruntukan Kerajaan Persekutuan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan