KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan dua kadar zakat fitrah untuk tahun ini iaitu tidak kurang daripada RM10 dan RM20.
Yang Dipertuanya, Dato" Nara Setia berkata, penetapan itu berdasarkan harga beras yang dimakan penduduk di negeri ini.
"Kadar zakat fitrah bagi 1447H/2026M dikeluarkan dengan wang tunai sahaja ditetapkan pada dua kadar iaitu tidak kurang bagi RM10 setiap orang.
"Bagi mana-mana orang yang memakan beras jenis Basmathi atau yang setara, rujukan kadar zakat fitrah ialah RM20 bagi setiap orang," katanya.

Jelas beliau, pembayaran zakat boleh dibuat secara fizikal tunai atau melalui kaedah bayaran tanpa tunai menerusi laman sesawang Maidam atau amil atau mana-mana kaedah yang telah dipersetujui.
Tambahnya, Maidam telah melantik dan memberi tauliah kepada 906 orang amil di seluruh Terengganu bagi memudahkan urusan pembayaran fitrah dan zakat yang lain.
Justeru itu katanya, orang ramai diseru supaya mengeluarkan fitrah dan zakat kepada amil yang dilantik oleh Maidam sahaja.
"Pembayaran kepada mereka yang tidak dilantik oleh Maidam adalah menjadi kesalahan menurut Seksyen 41 Enakmen Kesalahan Jenayah Syahriah (Takzir)(Terengganu)2001.
"Jika sabit boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama dan mahkamah boleh menjatuhkan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," jelasnya.