• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kaedah ‘Special Cut’ Jana Untung Lumayan Buat Penternak Muda

KUALA TERENGGANU, 11 September – Penternak muda di Terengganu diberi peluang mempelajari kaedah memotong daging lembu sado dengan betul (special cut) supaya keuntungan yang diperolehi mencapai tahap maksima.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kaedah 'special cut' yang diterapkan itu mampu menghasilkan potongan daging bernilai tinggi seperti daging untuk dibuat stik.

"Sebenarnya pada seekor lembu ada daging yang bernilai ratusan ringgit sekilo apabila dipotong dengan cara yang betul. Sayangnya apabila semua dipotong halus dan masuk kawah atau kuali dengan nilai RM30 sahaja sekilo.

"Hasil yang kita ada perlu diberikan nilai tambah untuk meningkatkan pendapatan penternak. 

"Ada orang yang sedia membayar dengan harga yang tinggi atas kualiti daging yang dinikmati terutama di restoran-restoran ternama atau hotel-hotel. Yang penting penternak kita menikmati hasil yang lumayan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kursus 'special cut' itu dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Jahhet Fine Meat di Rumah Sembelihan Veterinar Gong Badak di sini.

Sementara itu katanya, dakwaan harga daging tinggi akan membebankan orang kampung hanyalah salah faham yang berlegar dalam kalangan masyarakat.

"Saya dah nyatakan di atas, target pasaran daging bernilai tinggi bukan untuk orang kampung. Ada orang yang berduit sedia membayarnya dan orang kampung yang jadi penternak dapat hasil. Untuk pasaran orang kampung harga tetap macam biasa saja," tambah beliau.