• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kain Rentang Gergasi 'Ninja Turtles' Beri Semangat Buat TFC

MARANG, 8 September - Sembilan pemuda dari Kampung Bukit Kor, Rhu Rendang di sini menyiapkan kain rentang gergasi 'Ninja Turtles' bersaiz 40' x 10' yang memaparkan perkataan 'Setiaku Hitam Putih #Bukit Kor Hadir' bagi menaikkan semangat pemain Terengganu Football Club (TFC) di pentas akhir Piala FA.

Mewakili kumpulan anak muda terbabit, Mohamad Fariq Hamidi Mohd Sukri, 27 berkata sebanyak RM500 dibelanjakan untuk menyiapkan kain rentang tersebut.

Katanya, kain rentang itu akan dinaikkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini.

"Kami juga seperti yang lain, bersemangat untuk turut bersama di SNBJ yang mana bahangnya kian terasa.

"Pemilihan perkataan 'setiaku hitam putih' pada kain rentang ini bermaksud kami merupakan penyokong setia bersama pasukan kesayangan ramai ini tanpa mengira di saat jatuh bangun.

"Ninja turtles ini pula bermaksud pejuang dan wira yang menjadi simbolik kepada pasukan ramai ini, bahawa kita memiliki kekuatan kita sendiri yang pastinya seluruh pemain akan bermain dengan sepenuh hati pada malam itu, dan akhirnya dapat membawa pulang piala yang kali terakhir kita memenanginya pada tahun 2011,"ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.

Mengulas lanjut, katanya dia akan ke SNBJ bersama 44 orang kampung dengan menaiki sebuah bas yang telah disewa khas.

"Saya secara peribadi memang berharap agar pasukan kita ini mampu mengalahkan JDT dengan bergaya, sekali gus mengulangi sejarah 2011 yang ketika itu saya juga turut hadir walaupun masih remaja pada ketika itu.

"Serta pada tahun 2018 ketika pasukan dapat pergi ke pentas akhir Piala Malaysia saya juga turut menyaksikannya, boleh dikatakan semua perlawanan saya pergi apatah lagi apabila melibatkan perlawanan penting seumpama 'final' piala FA yang penuh berprestij ini," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, kenyataan dikeluarkan oleh Pengurus Pasukan TFC, Mohd Fadhil Wahab katanya tidak perlu dijadikan kontroversi sebaliknya ia merupakan nasihat yang baik.

"Dalam kegembiraan kita untuk pergi ke SNBJ bagi memberi sokongan kepada pasukan kita, solat adalah perkara paling asas untuk dititikberatkan dan menjadi tanggungjawab semua untuk dilaksanakan oleh semua umat Islam tanpa mengira siapa dan di mana berada perlu melaksanakan tanggungjawab itu," ujarnya lagi.