• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

'Kalau Takdok Bantuan Pakaian Ni.. Susoh Jugok..'

Fazrul bersama dua anaknya, Ahmad Lokman dan Nurul Ain serta seorang rakan anaknya bersama bantuan pakaian sekolah yang diterima mereka.
Oleh: Abdul Hafiz Ghazali

KEMAMAN, 18 Disember - "Kalau tak dok (tiada) bantuan ni..susoh jugok. Anok ramai nok sekoloh, apatah lagi pendapatan pun tidak seberapa. Syukur sangatlah," kata bapa kepada penerima bantuan persekolahan, Ahmad Fazrul Mohamad, 33, dari Kampung Dusun Nyior, di sini, semalam.

Dua anaknya, Ahmad Lokman Haziq, 14, dan Nurul Ain Natasya Ahmad Fazrul, 13, menerima bantuan i-Dana Persekolahan, menjadi antara 590 penerima di Dewan Sri Amar Cukai, di sini, semalam.

Menurut Ahmad Fazrul, keprihatinan kerajaan amat besar maknanya kepada golongan yang berpendapatan rendah seperti mereka, apatah lagi kos sara hidup yang semakin tinggi masa kini.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan kepada rakyat, saya berpuas hati sangat dengan usaha dan bantuan ini.. kalau boleh berterusanlah.

"Molek sangat kerajaan negeri buat macam ni, dengan nilaian RM100 dapat semua set pakaian sekolah seperti baju, seluar, stokin, kasut, beg dan kain sekolah. Jika dibandingkan dengan nilaian RM100 untuk membeli di luar sana (kedai) sememangnya tidak cukup,"katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Haji Hanafiah Mat yang meninjau proses pengagihan berkenaan.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, berkata kira-kira RM5,000 disediakan kepada penerima bantuan pakaian sekolah berkenaan, semalam.

"Apa yang utama, jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri serta kepimpinan utama negeri, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kerana telah menyediakan peruntukan yang besar bagi tujuan ini. Hampir RM12 juta belanja untuk memastikan rakyat Terengganu yang bergaji (pendapatan isi rumah) kurang daripada RM2,500 memperolehi bantuan pakaian ini.

"Jutaan terima kasih kepada i-MiTS (Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera DUN Cukai, Sahabat Sejahtera, Pemuda PAS DUN Cukai, Jabatan AMAL, Ameerah Care dan juga PDRM (Polis Diraja Malaysia yang memberi kerjasama baik bagi menjayakan serta melancarkan program ini,"katanya.

Tag: