• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kampung Tanjung Gamitan Sejarah dan Kenangan

Pastinya semua rakyat Terengganu mengetahui tentang keberadaan Kampung Tanjung yang terletak di pinggir muara Sungai Terengganu, berhampiran dengan Istana Maziah, pusat pemerintahan Kesultanan Negeri Terengganu suatu masa dahulu, Pejabat Pos Besar, Pasar Payang dan juga Bukit Puteri.

Pernah menjadi pusat ekonomi rakyat Terengganu dengan adanya Pasar Tanjung, Taman Selera Tanjung ketika itu. 

Sebenarnya, banyak nama-nama Tanjung yang ada sepanjang kira-kira 1.5 km itu yang mungkin tidak diketahui orang. Antaranya Tanjung Jati, Tanjung Pantai Teluk, Tanjung Haji Kasim, Tanjung Che Mat Taukey, Tanjung Kapor, Tanjung Atap, Tanjung Batu Satu, Tanjung Paya, Tanjung Surau Besar, Tanjung Surau Pasir, Tanjung Taman Selera, Tanjung Haji Mat Lintar, Tanjung Jamban Hijau, Tanjung Kelab Pantai, Tanjung Surau Haji Mat Kerinci, Tanjung Mengabang dan Tanjung Longgey. 

Pada kebiasaannya perkampungan yang terletak berhampiran istana adalah tempat tinggal samada bagi pembesar dan juga pekerja yang terkait rapat dengan istana seperti batik, tembaga, pembuat keris, kumpulan kesenian istana.

Dan sememangnya benar, kerana terdapat banyak sekali perusahaan sebegitu, dibuat di rumah-rumah di Kampung Tanjung sehingga awal tahun 90 an. Demikian juga dengan beberapa rumah agam milik pembesar-pembesar istana yang sehingga kini, masih ada yang kukuh berdiri dengan binaan kayu-kayu bermutu seperti cengal. Tidak ketinggalan juga kumpulan besar keluarga nelayan. 

Bergerak kearah zaman lebih moden sewaktu itu, Kampung Tanjung mengalami perubahan. Pada sekitar 50 an dan 60 an, ada beberapa tempat seperti Tanjung Longgey, menjadi tumpuan kepada beberapa aktiviti yang tidak bermoral seperti pelacuran, dadah dan perjudian. Disebut orang, kawasan ‘belakang mati’. Kawasan itu kemudiannya hilang, mungkin kerana hakisan ombak yang besar yang sentiasa berlaku pada musim tengkujuh. Di Tanjung Kelab Pantai dahulu ada kelab judi berlesen. 

Banyak sudah kampung-kampung di Tanjung, hilang ditelan hakisan. Antaranya ialah Tanjung Pantai Teluk yang hilang seluruhnya pada tahun 1986, sewaktu banjir dan ombak besar melanda Terengganu. Juga sebahagian Tanjung Kapor, Tanjung Surau Pasir dan Tanjung Taman Selera. Dan penduduk dipindahkan ke kawasan-kawasan perpindahan yang sesuai. Kebanyakkan mereka adalah setinggan, namun ramai juga yang mempunyai tanah sendiri. 

Dalam menghadapi cemuhan orang ramai berkenaan keadaan Kampung Tanjung yang dikenali dahulu dengan cerita negatif seperti dadah, kaki pukul, perkelahian sesama sendiri, mulut yang celupar, perjudian, ia sebenarnya, tidaklah seteruk sangkaan itu. Hanya sebahagian yang hidup dengan cara itu, manakala yang lain, hidup sebagai insan biasa, malah telah membuktikan dengan kejayaan-kejayaan yang cemerlang. 

Antara tokoh yang yang dikenali ramai ialah Tuan Guru Haji Mat Lintar, seorang ulamak yang mendapat pendidikan di Mekah dan menjadi pembantu bagi Sultan Terengganu. Haji Mat Kerinci yang menjadi qari dan dihadiahkan sebidang tanah, Surau Haji Mat Kerinci sekarang bagi beliau mengajar al-Quran. Taun Haji Shafruddin Ali Hussin mantan Pengarah Pendidikan Terengganu, penulis tersohor, Awang Goneng, Profesor Madya M. Zaki Hamzah, CEO Golden Pharos, Dato’ Zulkifli Mohamad, pegawai Kerajaan Terengganu dan ramai lagi. 

Tidak kurang juga anak kelahiran Tanjung yang berjaya dalam kehidupan mereka, keluar dari stigma negatif itu menjadi peguam, pensyarah, usahawan dan banyak lagi berada dalam kerjaya-kerjaya yang membawa kebaikan kepada masyarakat. 

Sayang sekali, Kampung Tanjung sekarang sudah tinggal nama sahaja. Atas nama pembangunan, kampung-kampung di sebelah pantai telah diambil tanahnya.

Semua rumah kediaman di situ, dirobohkan dan diganti dengan bangunan-bangunan seperti KTCC, Mayang Mall dan MBKT. Tapak-tapak bangunan ini, suatu masa dahulu menjadi padang bolasepak pantai bagi mengisi masa lapang sebelah petang dan bermain ‘surfing board’ yang diperbuat daripada ‘plywood’ sebelum solat Jumaat. Momen-momen indah kanak-kanak yang tidak akan tidak akan luput ke akhir hayat. 

Dan demi menjaga kelangsungan ikatan persaudaraan, jiran dan kawan di Kampung Tanjung, walaupun hampir 80 peratus Kampung Tanjung sudah diambil tanahnya, sebuah NGO, Persatuan Anak Tanjung, telah ditubuhkan. NGO ini bertujuan bagi merapatkan kembali hubungan sesama penduduk yang semakin jauh terpisah kerana pembangunan.

Saudara Abdullah Mohd Noor, selaku penaung persatuan mengharapkan supaya NGO ini akan dapat membantu lebih ramai lagi bekas penduduk Tanjung yang mana tugasan tersebut telah dijalankan sewaktu negara dilanda Covid-19 baru-baru ini dengan sedikit bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas, bantuan kebakaran rumah, mereka yang sakit juga diziarahi dan dibantu.

Diharap hal seperti ini dapat menjadi contoh kepada generasi seterusnya. Pasti nanti, Kampung Tanjung hanya tinggal nama sahaja, tetapi biarlah nama yang baik, dikenang orang.

Mohd Nasir Abdullah,
29 Julai 2022.


Tag: