lightning-solid
Berita :
Peristiwa Peralihan Kiblat : Pengajaran Menguatkan Keimanan Sepanjang Zaman
Peristiwa Peralihan Kiblat : Pengajaran Menguatkan Keimanan Sepanjang Zaman
Adli Mohamad
2 jam yang lepas
28

Menjelang bulan Syaaban yang baru tiba, peristiwa peralihan kiblat sering menjadi topik yang didendangkan kepada umat Islam.

 Majoriti ulama berpendapat peristiwa ini berlaku pada bulan Syaaban tahun kedua Hijrah.

 Peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah merupakan salah satu peristiwa besar dalam sejarah Islam, penuh dengan hikmah dan pengajaran.

 Ia bukan sekadar perubahan arah solat, tetapi juga menjadi ujian ketaatan, penzahiran keimanan, dan pemisah antara golongan beriman dengan mereka yang ragu serta mempertikaikan wahyu. Imam Baihaqi meriwayatkan bahawa peristiwa penukaran kiblat termasuk dalam bahagian fekah pertama yang dimansuhkan dalam Islam.

Rasulullah ﷺ merupakan insan pertama yang menunaikan solat menghadap Kaabah. Ketika berada di Mekah, Baginda kemudiannya diperintahkan menghadap Baitul Maqdis dan menunaikan solat ke arahnya selama tiga musim haji.

 Selepas berhijrah ke Madinah, memandangkan majoriti penduduk terdiri daripada orang Yahudi, Allah سبحانه وتعالى memerintahkan Baginda menghadap ke arah Sakhrah Baitul Maqdis.

 Pada waktu itu, orang-orang Yahudi berasa senang dan berbangga kerana arah solat Rasulullah ﷺ selari dengan arah solat Ahli Kitab, malah dijadikan hujah bahawa Baginda mengikuti ajaran mereka. Hakikat sebenar, Rasulullah ﷺ amat mengharapkan kiblat umat Islam dipalingkan ke arah Baitullah, selaras dengan agama Nabi Ibrahim عليه السلام.

Rasulullah ﷺ pernah menyatakan hasrat tersebut kepada Jibril عليه السلام. Jibril menjawab bahawa dirinya hanyalah seorang hamba yang diperintahkan melaksanakan ketetapan Ilahi, dan Baginda diminta berdoa kepada Allah. Sejak itu, Rasulullah ﷺ sering menadah tangan ke langit sambil menantikan perintah Allah Taala dengan penuh pengharapan.

Perintah peralihan kiblat akhirnya diturunkan ketika Rasulullah ﷺ berada dalam perkampungan Bani Salimah. 

Pada waktu Zuhur, Baginda menunaikan solat bersama para sahabat dalam sebuah masjid kawasan tersebut. Selepas dua rakaat ditunaikan, Jibril عليه السلام turun membawa perintah agar Baginda menghadap ke arah Kaabah. Rasulullah ﷺ berpusing menghadap Baitullah, tepat ke arah Mizab Kaabah, dan para sahabat turut berpusing mengikuti Baginda. Para lelaki dan wanita bertukar saf, lalu solat Zuhur pada hari itu disempurnakan dengan dua rakaat menghadap Baitul Maqdis dan dua rakaat menghadap Kaabah. Masjid itu kemudiannya dikenali sebagai Masjid Qiblatain, selaras dengan firman Allah Taala mengenai kiblat pilihan Rasul-Nya.

Perubahan arah kiblat mencetuskan pelbagai reaksi dalam masyarakat Madinah.

 Orang-orang Yahudi mempertikaikan keputusan tersebut. Beberapa tokoh Yahudi, antaranya Ka‘b bin al-Ashraf, Rifa‘ah bin Qais, Kirdam bin ‘Amr, Rafi‘ bin Abi Rafi‘, al-Hajjaj bin ‘Amr, serta al-Rabī‘ dan Kinānah bin al-Rabī‘ bin Abi al-Huqaiq, menemui Rasulullah ﷺ dan mengajukan cadangan agar Baginda kembali menghadap kiblat lama dengan janji akan mengikuti Baginda. Hakikat sebenar, ajakan itu bertujuan memesongkan Rasulullah ﷺ daripada agama Islam.

Golongan munafik pula mendakwa Rasulullah ﷺ kembali kepada asal-usul jahiliah, manakala golongan musyrik beranggapan Baginda hampir kembali menerima ajaran mereka. Sebahagian kaum Muslimin pula bimbang terhadap nasib sahabat yang telah meninggal dunia sebelum peralihan kiblat, sama ada solat mereka diterima atau tidak.

Maka Allah عز وجل menurunkan firman-Nya bahawa golongan jahil akan mempertikaikan peralihan kiblat ini, sedangkan seluruh arah timur dan barat berada dalam kekuasaan Allah. Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki ke jalan lurus. 

Melalui peristiwa ini, Allah menegaskan kedudukan umat Islam sebagai umat sederhana antara keras dan longgar, adil serta terpilih untuk menjadi saksi ke atas manusia pada hari kiamat, sementara Rasulullah ﷺ menjadi saksi ke atas umatnya.

Peralihan kiblat juga menjadi ujian nyata bagi membezakan golongan yang taat mengikuti Rasul dengan mereka yang berpaling ke belakang kerana ragu atau sangkaan buruk terhadap wahyu. Kesimpulannya, peristiwa peralihan kiblat bukan sekadar catatan sejarah, tetapi pengajaran sepanjang zaman. Ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya mesti mengatasi adat, sentimen, serta tekanan manusia. Peristiwa ini menuntut umat Islam kekal teguh berprinsip, yakin terhadap wahyu, dan tidak goyah menghadapi tohmahan golongan yang menentang kebenaran.

Artikel ini ditulis Pendakwah Bebas, Abdul Rahman Ahmad Tarmizi


Tag :

Artikel Berkaitan