Berita :
Menyusuri Tamadun Melayu Di Pameran Ijtimak
Menyusuri Tamadun Melayu Di Pameran Ijtimak
Ahmad Zaeem Zainudin
4 jam yang lepas
108

KUALA NERUS, 2 Mac - Deretan reruai yang tersusun di perkarangan program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 bukan sekadar pelengkap acara, sebaliknya menjadi nadi yang menghidupkan suasana himpunan tersebut.

Di sebalik kemeriahan itu, segmen pameran yang dibahagikan kepada lima zon utama membawa pengunjung menelusuri perjalanan panjang tamadun Alam Melayu daripada zaman pra-syariat hingga ke era kegemilangan Islam masa kini.

Langkah pertama membawa pengunjung ke Zon Pra Syariat, yang membangkitkan kesedaran tentang kewujudan awal Alam Melayu melalui paparan sistem pentadbiran dan mata wang terawal, selain bukti artifak daripada tapak Sungai Batu semasa era Kedah Tua yang mengukuhkan naratif kewujudan masyarakat Melayu sejak ribuan tahun lalu.

Perjalanan diteruskan ke Zon Tamadun Melayu dan Kesultanan Alam Melayu, yang menggambarkan kehidupan masyarakat sebelum kedatangan Islam, diikuti kemasukan para pedagang dari Tanah Arab yang membuka lembaran baharu kepada perkembangan agama, budaya dan sistem sosial di rantau ini. 

Turut dipamerkan ialah senjata tradisional yang mencerminkan kekuatan serta kearifan tempatan dalam mempertahankan wilayah.

Zon seterusnya menampilkan detik penting kedatangan Islam ke Tanah Melayu dengan lebih mendalam, termasuk bukti seperti batu bersurat, peranan tokoh pejuang Melayu Islam, serta perkembangan perdagangan dan teknologi perkapalan yang menjadi pemangkin perubahan besar dalam struktur masyarakat.

Di Zon Ulama dan Pusat Ilmu, pengunjung didedahkan dengan kitab-kitab dan manuskrip lama yang menjadi sumber rujukan utama dalam perkembangan ilmu Islam, selain memperlihatkan pelaksanaan qanun Islam di Terengganu dan negeri-negeri lain serta laluan penyebaran Islam ke Alam Melayu.

Perjalanan pameran diakhiri di Zon Kejayaan Islam Masa Kini, yang memaparkan bagaimana negara-negara di rantau ini terus berkembang dengan mengekalkan identiti Islam, termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi serta pengaruhnya dalam membentuk pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.

Keseluruhan susunan pameran ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman sejarah, malah memberi pengalaman mendalam kepada pengunjung bagi memahami akar peradaban dan perjalanan Islam di Alam Melayu.

Pengalaman di reruai ini memberikan nafas baharu berbanding pengisian di pentas utama, apabila mereka bukan sahaja dapat mendengar penerangan mendalam daripada pempamer, malah melihat dan menghayati sendiri perjalanan sejarah yang dipamerkan.

Pameran Alam Melayu Dan Ketamadunan Islam di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu Darul Iman dijadualkan seiring program Ijtimak selama tiga hari ia berlangsung, bermula jam 9 pagi sehingga 10 malam. 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan