Berita :
Perkasa Wanita Islam Hadapi Cabaran Kerjaya Dan Keluarga
Perkasa Wanita Islam Hadapi Cabaran Kerjaya Dan Keluarga
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
70

KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Usaha memperkasa wanita Islam terus diperkukuh bagi membentuk jati diri, akhlak dan peranan wanita sebagai tunjang institusi keluarga, selain membantu mereka menangani cabaran keseimbangan antara kerjaya serta tanggungjawab rumah tangga dalam masyarakat moden.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak berkata, pendekatan berteraskan al-Quran itu penting dalam memastikan wanita kekal berperanan sebagai pembina utama kesejahteraan keluarga dan masyarakat.

Menurut beliau, program seumpama ini bukan sahaja memberi kefahaman agama kepada wanita, malah menjadi panduan dalam mengurus kehidupan harian yang semakin mencabar dengan tuntutan kerjaya masa kini.

“Tuntutan kerjaya pada hari ini memerlukan ramai wanita menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja berbanding bersama keluarga di rumah. Keadaan ini sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada keharmonian institusi keluarga sekiranya tidak diimbangi dengan baik, sehingga menyebabkan aspek perhatian terhadap rumah tangga dan anak-anak terabai.  

“Oleh itu, amat penting bagi para wanita, khususnya wanita bekerjaya, untuk memperoleh pencerahan serta bimbingan yang berteraskan wahyu Allah SWT agar dapat memperkukuh jati diri, melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya dan seterusnya membentuk keluarga yang sejahtera serta diredai-Nya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bicara Al-Nur di Dewan Audotarium Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, baru-baru ini. 

Alias turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan Islam melalui pelbagai program dan inisiatif strategik.

“Kerajaan Negeri amat komited dalam memperkasa agenda pembinaan wanita mukminah yang berilmu, berakhlak mulia serta berkeupayaan memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negeri,” ujarnya.

Selain itu, kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan juga dilihat penting dalam memastikan agenda pembangunan wanita Islam dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

“Saya yakin, dengan kesungguhan semua pihak iaitu agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti dan masyarakat keseluruhannya, usaha pembangunan insan ini akan terus subur dan memberi kesan jangka panjang kepada pembinaan generasi yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia,” tambahnya.

Justeru itu, beliau berharap mampu melahirkan wanita yang lebih berilmu, berakhlak dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa, sekali gus menyumbang kepada pembinaan keluarga serta ummah yang sejahtera.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan