Berita :
Bekas Pemandu Lori Kurier Bangkit Cari Rezeki Melalui GrabCar
Bekas Pemandu Lori Kurier Bangkit Cari Rezeki Melalui GrabCar
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
76

KUALA TERENGGANU, 14 Mei – “Walaupun pernah diuji kemalangan hingga patah kaki, saya tetap teruskan hidup dan cari rezeki untuk keluarga,” kata Mohd Ehsan Sabri  Mohammad, 35.

Beliau yang kini bekerja sebagai pemandu GrabCar sepenuh masa berkata, sudah lapan tahun berada dalam industri e-hailing selepas mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pemandu lori kurier.

Menurutnya, faktor kesihatan serta kadar upah yang terlalu rendah menjadi punca utama beliau meninggalkan pekerjaan terdahulu.

“Saya sebelum ini kerja sebagai pemandu lori kurier, tetapi terlibat kemalangan motosikal hingga patah kaki. Keadaan kesihatan ketika itu agak sukar dan pada masa sama upah kerja juga rendah,” jelasnya ketika dihubungi.

Mohd Ehsan yang menetap di Taman Rawai Perdana, Kampung Padang Limau Nipis di sini berkata, kerjaya sebagai pemandu GrabCar kini menjadi sumber pendapatan utama beliau untuk menyara keluarga termasuk seorang anak.

Katanya, pendapatan yang diperoleh sekitar RM2,000 sebulan sedikit sebanyak membantu meneruskan kehidupan walaupun berdepan peningkatan kos sara hidup dan kos penyelenggaraan kenderaan.

“Sambutan masyarakat Alhamdulillah sangat baik dan pelanggan pun ramai yang memahami. Saya buat kerja ini sepenuh masa untuk keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat memberikan lebih banyak perhatian kepada kebajikan pemandu e-hailing terutama melibatkan bantuan penyelenggaraan dan kos membaiki kenderaan.

“Saya harap industri ini dapat terus maju dan kerajaan bantu pemandu dari segi repair dan servis kereta kerana kos sekarang agak tinggi,” katanya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal empat anak gigih mencari rezeki sebagai pemandu E-Hailing.

Bermula sekadar kerja sambilan selepas tempoh PKP, seorang ibu tunggal empat anak kini menjadikan kerjaya pemandu e-hailing sebagai sumber pendapatan utama demi menyara keluarga.

Nor Azlina Mahmood, 46, yang menetap di Jalan Budiman, Batu Buruk berkata, beliau mula terlibat dalam bidang e-hailing sejak tahun 2022 ketika masih bekerja dalam sektor lain.

“Pada mulanya saya buat secara separuh masa kerana masih bekerja. Namun pada akhir tahun 2023, saya mengambil keputusan untuk menjadikan e-hailing sebagai pekerjaan sepenuh masa kerana jadual kerja dan masa yang lebih fleksibel,” ujarnya.

Menurut beliau, fleksibiliti masa menjadi faktor utama kerana perlu menguruskan anak-anak selain tanggungjawab sebagai ibu tunggal.

“Saya ibu tunggal dengan empat orang anak. Kadang-kadang anak perlukan perhatian dan masa. Jadi kerja e-hailing ini memudahkan saya menguruskan keluarga tanpa terikat dengan waktu kerja yang tetap,” katanya.

Beliau menambah, pendapatan bulanan yang diperoleh sekitar RM2,000 hingga RM2,500 bergantung kepada keadaan dan jumlah tempahan diterima.

Nor Azlina yang memandu sekitar Kuala Terengganu turut menerima tempahan luar kawasan termasuk ke Kuantan dan Kuala Lumpur.

Katanya, selain faktor masa yang fleksibel, beliau juga meminati suasana kerja yang membolehkan dirinya mengembara dan bertemu ramai orang.

“Saya memang suka suasana kerja yang boleh travel dan berkenalan dengan ramai orang. Ini peluang yang baik untuk cipta memori dalam hidup. Saya juga ada ramai kenalan dari luar negara dan masih berhubung hingga sekarang,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi mengenai anak-anaknya yang kini sedang membina masa depan masing-masing. 

Katanya, anak kedua sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), manakala anak bongsu sedang menduduki peperiksaan SPM.

“Anak sulung baru tamat pengajian di TESDEC dan kini bekerja di bengkel kereta. Anak ketiga pula tamat sijil gunting rambut di Kolej Ketengah dan kini bekerja di GROMERS,” katanya.

Dalam pada itu, Nor turut meluahkan beberapa cabaran utama yang dihadapi pemandu e-hailing ketika ini, termasuk kadar tambang yang rendah dan komisen tinggi dikenakan syarikat pengendali e-hailing.

“Antara cabaran utama ialah kadar tambang yang rendah dan komisen daripada syarikat e-hailing yang terlalu tinggi. Selain itu kos minyak semakin meningkat kerana kekangan subsidi dan bukan semua pemandu layak menerima subsidi tambahan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kos insurans kenderaan yang semakin meningkat turut memberi tekanan kepada pemandu.

Mengulas persaingan industri e-hailing, beliau berkata perkhidmatan Grab masih menjadi pilihan utama pengguna di Terengganu walaupun berdepan saingan daripada Maxim.

“Harga Maxim memang lebih murah dan ini menjadi faktor kenapa Grab juga terpaksa ikut menurunkan harga. Masalahnya, keadaan ini akhirnya menjadi beban kepada pemandu,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan