KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Ketiadaan penyerang berpengalaman, Faizal Saari dilihat membuka ruang kepada pemain muda Terengganu Hockey Team untuk menonjolkan kebolehan mereka beraksi di padang.
Perkara itu terbukti selepas sang penyu berjaya menewaskan UiTM HA-KPT 5-1 dalam aksi Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki MBKT, Batu Buruk, petang tadi.

"Kita akui ketiadaan Faizal ini memang memberi kekurangan kepada pasukan memandangkan dia merupakan penyerang yang berpengalaman.
"Jadi, kita pun ada beberapa peluang tadi yang mungkin insya-Allah kalau dia (Faizal) ada, dia akan manfaatkan peluang itu kepada gol," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas perlawanan.

"Tapi ini bagus untuk satu proses pembelajaran buat pemain-pemain yang lain tu. Pemain-pemain muda yang lain.
"Supaya mereka lebih bersedia ke hadapan selepas ini dan insya-Allah dia orang tahu dekat mana dia orang kena bangkit selepas ini," ujarnya.
Menurutnya lagi, THT tidak berdepan masalah besar dalam situasi pukulan sudut penalti (PC) walaupun tanpa kehadiran Faizal kerana pasukan masih memiliki beberapa lagi pemain flicker.
Bagaimanapun tambahnya, kelemahan pasukan lebih tertumpu kepada aspek tolakan dan pertahanan bola yang masih belum sempurna sehingga menyebabkan flicker gagal melakukan flick dengan tepat dalam perlawanan tersebut.

"Cuma kita punya daripada sudut lain, maknanya dari segi kita punya tolakan dengan kita punya pertahanan bola itu kita tidak sempurna lagi," ulasnya.
Tegasnya, situasi itu sekali gus membantu pasukan mengenal pasti bahagian yang perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.
Beliau turut mengesahkan Faizal akan kembali beraksi bersama pasukannya bagi perlawanan menentang Young Elephants Pahang (YEP) di Wisma Belia Kuantan, Pahang pada esok.