• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kanak-Kanak Maut Dilanggar Kenderaan Dipandu Bapa

BESUT, 29 Mei - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun lapan bulan maut dilanggar kenderaan jenis pacuan empat roda dipandu bapanya di halaman sebuah rumah di Kampung Wakaf Kubor, Kluang, Kampung Raja, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika bapa mangsa sedang mengundurkan kenderaannya selepas selesai membasuh kenderaannya di halaman rumah berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak mengalihkan kenderaan jenis pacuan empat roda selepas selesai membasuh kenderaan di halaman rumah.

"Bapa mangsa tidak menyedari kanak-kanak yang sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah telah bergerak menuju ke arah kenderaan yang dipandunya dan menyebabkan dia telah terlanggar anaknya.

"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi. Bapa kanak-kanak itu kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gong Medang dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rozak berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa perlu lebih berhati-hati serta peka semasa memandu di kawasan kediaman terutamanya yang mempunyai anak kecil serta sentiasa mengawasi mereka untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Terutama apabila melibatkan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak kecil serta tidak membiarkan kanak-kanak di luar rumah tanpa pengawasan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," ujarnya.

 


 


Tag: