• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Karnival Beautiful Terengganu Platform Perkenal Pakej Pelancongan

KEMAMAN, 25 Februari- Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu meneruskan kesinambungan penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023 yang berlangsung di Padang Astaka, di sini selama empat hari bermula 23 Februari lalu.

Timbalan Pengerusi (l) Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata, penganjuran KBTM kali kedua itu dilihat sebagai platform terbaik kepada penggiat industri pelancongan (players) Terengganu bagi memasarkan produk dan pakej pelancongan masing-masing kepada pengunjung secara berdepan.

"Selain dapat memperkenalkan seni warisan budaya yang ada di Terengganu, tujuan utama adalah untuk menjadi paltform bagi memperkenalkan pakej serta perkhidmatan yang berkaitan pelancongan yang disediakan oleh pemain industri kepada pengunjung karnival.

"Kita tampilkan keunikan dengan membawa produk-produk pelancongan dan pakej menarik yang dapat memberi pilihan kepada pengunjung.

"Kita ada 20 gerai pempamer yang boleh dikunjungi oleh para pengunjung untuk mendapat pilihan perkhidmatan dan pakej pelancongan dengan tawaran harga yang berpatutan," ujarnya ketika berucap merasmikan KBTM 2023 di Padang Astaka, malam tadi.

Menurut Sulaiman, kerajaan negeri mahu mereka (pemain industri) melihat ini adalah satu inisiatif yang bersungguh digerakkan oleh kerajaan negeri dan sekali gus ingin menjadikan KBTM sebagai peluang yang perlu direbut. 

"Ini adalah peluang terbaik untuk memasarkan dan menjual produk, pakej yang ada pada pemain industri di Negeri Terengganu.

"Sekiranya pemain industri di peringkat negeri kurang minat kita bersedia panggil penggiat luar, " ujarnya.

Sementara itu katanya, sektor pelancongan Negeri Terengganu merupakan penyumbang kedua terbesar selepas industri minyak dan gas di negeri ini yang juga menyumbang kepada sosiol ekonomi penduduk. 

"Kerajaan negeri sentiasa komited dan berusaha untuk mempromosikan produk-produk pelancongan dalam menarik jumlah kedatangan pengunjung ke negeri Terengganu.

"Pelbagai usaha dan promosi yang dilakukan oleh kerajaan negeri samada di peringkat dalam dan luar negeri termasuk ke luar negara.

"Salah satu yang kita usahakan ialah KBTM yang kita adakan ini sebagai usaha mempergiatkan lagi kempen promosi sektor pelancongan negeri, " ujarnya.