KUALA TERENGGANU, 23 April - Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat (KIBS) yang diperkenalkan sebelum ini akan dijenamakan semula kepada konsep baharu dikenali sebagai 'Bersamamu Rakyat'.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perubahan itu dibuat selaras dengan perkembangan semasa serta keperluan rakyat ketika ini.
"Sebahagian daripada DUN-DUN telah melaksanakan program ini. Kita melihat, kepada perkembangan semasa yang berlaku dan kita bersetuju untuk merubah konsep karnival tersebut dengan nama baru ataupun penjenamaan baru,
"Iaitu Bersamamu Rakyat, untuk lebih menjurus kepada aspek kebajikan dan juga kerohanian.
"Terutamanya, melihat kepada perkembangan semasa yang berlaku, khususnya dari sudut kesan ekonomi sebagaimana yang kita maklum," katanya.
Beliau berkata demikian didalam ucapannya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Tambah beliau, program Bersamamu Rakyat akan menjadi medium penting untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat, khususnya berkaitan dasar dan garis panduan syariah yang diperkemas.
"Antara apa yang kita tekankan dalam program tersebut ialah untuk kita sampaikan maklumat-maklumat kepada rakyat di bawah.
"Khususnya, berkait dengan pembaharuan garis panduan syariah yang lebih baik dan lebih dimurnikan lagi berbanding daripada sebelum ini kerana ia melibatkan libat urus dengan portfolio-portfolio lain dan juga agensi dan jabatan-jabatan yang lain," katanya.
Tag :
Utama