• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Diperluas ke 32 DUN

KUALA TERENGGANU, 26 September - Program Indahnya Hidup Bersyariat bakal dilaksanakan di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program-program tersebut menterjemahkan usaha pihak kerajaan negeri yang tidak pernah berhenti meninggikan syiar Islam di bumi Darul Iman ke peringkat akar umbi.

Menurutnya, satu bajet telah diluluskan dalam mesyuarat Exco bagi melaksanakan program tersebut dalam bentuk karnival dengan pelbagai pengisian dakwah dan islamiah.

"Jadi dalam program ini kita akan 'highlight' bahawa syariat dalam islam  ini satu syariat yang indah, bukan sahaja tentang hudud dan qisas tapi merangkumi semua aspek termasuk keluarga, pendidikan anak-anak, hiburan mengikut cara Islam dan lain-lain lagi.

“Garapan dan impak daripada ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ diharapkan bakal menterjemahkan suasana beragama dan penghayatan undang- undang Islam dalam setiap golongan dan lapisan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, program  berkenaan diadakan untuk menzahirkan manifestasi kerajaan negeri bagi menonjolkan usaha membangun serta membentuk modal insan kalangan rakyat secara holistik dan komprehensif.