• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera Tarik Lebih 10,000 Pengunjung

KUALA TERENGGANU, 18 Februari – Program Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) menerima lebih 10,000 pengunjung selama tiga hari program berlangsung yang bermula 15 hingga 17 Februari bertempat di pasaraya KTCC di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, seramai 24 orang usahawan terpilih dalam program tersebut yang terdiri dari belia dan beliawanis Terengganu.

Katanya, karnival jualan U-BES ini merupakan program julung kalinya dianjurkan oleh pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu yang menghimpunkan Usahawan Belia Sejahtera di bawah satu bumbung.

“Rata-rata peniaga meluahkan perasaan puas hati kerana sambutan yang meriah ditunjukkan dari kalangan para pengunjung yang hadir.

“Beberapa gerai yang menjadi tumpuan pada karnival tersebut antaranya gerai kek lapis, kuih-muih tempatan, pakaian batik dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketik sidang media selepas Menghadiri Walkabout Program Karnival Jualan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) bertempat di Centre Atrium, KTCC Mall di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Afnida Aini Alwi.

Tambah Ariffin, penyertaan para peniaga yang mendaftar di bawah U-Bes juga amat memberangsangkan dan lebih ramai pada tahun ini.

“Dengan sambutan yang menggalakkan ini, Insyaallah pihak YPU Terengganu akan menganjurkan lagi program sedemikian rupa pada masa akan datang.

“Terima kasih diucapkan kepada semua usahawan yang terlibat dalam menjayakan Karnival Jualan U-BES ini,” ujarnya.

 


Tag: