Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Karnival Tech Com 2024 yang berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) menjadi platform utama untuk menyemai semangat keusahawanan digital dalam kalangan generasi muda negeri itu.
Acara yang dianjurkan bersama Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat itu bertujuan memperkasakan pelajar dan usahawan muda dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi terkini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam ucapannya, menyatakan bahawa karnival tersebut sangat penting untuk memastikan generasi muda Terengganu tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi global.
“Karnival Tech Com ini diharapkan dapat menyemai semangat keusahawanan digital di kalangan generasi muda.
“Mereka adalah aset negara yang perlu kita persiapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk menghadapi masa depan yang semakin berteknologi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian dan Menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Sains & Kreativiti Terengganu Bersama Rakan Strategik bertempat di PSKT, Kampung Laut di sini semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, dengan bimbingan dan sokongan yang betul, anak-anak muda Terengganu mampu menjadi peneraju dalam bidang teknologi dan inovasi, bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat antarabangsa.
“Kita mahu anak-anak muda kita berani mencuba, berinovasi dan akhirnya menjadi usahawan digital yang berjaya. Karnival ini menyediakan peluang untuk mereka belajar dan berinteraksi dengan teknologi seperti robotik, AI, dan drone.
“Selain itu, karnival ini turut menampilkan pelbagai program dan bengkel seperti Bengkel Robotik, Forum Jenayah Siber, dan Drone Challenge, yang direka khusus untuk memberi pendedahan langsung kepada peserta tentang teknologi-teknologi terkini,” jelasnya.
Ahmad Samsuri turut menekankan pentingnya integriti dan inovasi dalam kalangan penjawat awam untuk memastikan perkhidmatan awam di Terengganu terus cekap dan berkesan.
Beliau merujuk kepada Belanjawan Negeri 2024 yang menekankan keperluan untuk menjunjung tinggi nilai integriti, mengamalkan konsep ‘walk the talk’ dan berhubung baik dengan semua pihak.
“Kita perlu pastikan bahawa kemajuan teknologi yang kita capai tidak hanya membawa manfaat material tetapi juga memberi impak positif kepada nilai dan moral masyarakat,” katanya.
Jelasnya, karnival tersebut juga bertujuan untuk mengukuhkan keselamatan siber dan meningkatkan kesedaran tentang jenayah siber, yang semakin meningkat di era digital sekarang.
“Melalui forum dan sesi perkongsian, peserta diajar cara-cara untuk melindungi diri mereka daripada ancaman dalam talian. Kita harus memperkukuhkan keselamatan siber dan memastikan bahawa kita mempunyai perlindungan yang mencukupi untuk menghadapi ancaman ini.
"Selain jenayah siber, kita juga harus berhati-hati dengan gejala negatif media sosial yang boleh memberi kesan buruk kepada kesejahteraan mental dan sosial masyarakat,” ujar beliau.
Beliau berharap, dengan penganjuran Karnival Tech Com, Terengganu berhasrat untuk tidak hanya memajukan teknologi dan inovasi sahaja tetapi juga membentuk generasi muda yang berdaya saing dan berfikiran maju, seiring dengan slogan ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’.