• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Karnival TMBS Pupuk Semangat Keluarga Malaysia

KEMAMAN, 31 Julai - Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) yang dianjurkan oleh kerajaan negeri menjadi satu medium bagi menyatukan masyarakat yang berbilang idealogi politik di Terengganu.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh berkata, penglibatan penduduk sekitar dengan aktiviti yang diadakan sepanjang tiga hari karnival tersebut mengharukan beliau.

"Alhamdulillah, sepanjang karnival ini berlangsung kita dapat melihat ramai anak kecil, ibubapa dan anak muda yang terlibat didalam pelbagai acara yang diadakan.

"Ini adalah satu petanda baik bahawa kita dapat hidup bersama dalam satu komuniti walaupun terdapat perbezaan pendapat di dalam beberapa perkara namun kita masih lagi dapat berkumpul dan beriadah bersama," katanya ketika berucap di slot Dialog Rakyat Bersama Pimpinan.  

Slot Dialog Rakyat Bersama Pemimpin. 

Karnival TMBS peringkat DUN Kijal yang diadakan di Padang Bola Bukit Kuang selama tiga hari bermula 27 sehingga 29 Julai mendapat sambutan yang mengalakkan oleh masyarakat setempat. 

Antara aktiviti dan acara yang dipertandingkan di karnival tersebut adalah tarik tali, gubahan kain batik, mewarna dewasa dan kanak-kanak, liga tendang penalti, timbang bola, gusti lengan, ikat ketam, kukur kelapa, 'shoot netball', busana cilik, memanah, cabutan bertuah, dialog rakyat, forum agama, 'UHJ Bikers', 'Fun Walk', pertunjukan silat, suara wanita, Malam Kesenian Islam dan Jualan Keluarga Malaysia oleh Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman dengan kerjasama FAMA, Sabasun dan KPDNHEP. 

Hazri juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada urusetia karnival, para petugas termasuk semua agensi kerajaan yang terlibat dengan persiapan tempat dan gerai pameran dalam menjayakan karnival ini. 

Sempena karnival tersebut, kategori Gerai Pameran Terbaik turut dipertandingkan dan telah dimenangi oleh Yayasan Islam Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman ditempat kedua manakala gerai Yayasan Terengganu ditempat ketiga dengan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai.


Tag: