• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KASA Peruntuk RM1.55b Bawah RMK-12 Di Terengganu

MARANG, 4 Julai – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) meluluskan 21 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bernilai RM1.55 billion.

Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kelulusan tersebut melibatkan projek pembangunan bagi mengurangkan risiko banjir, pengawalan hakisan pantai, pemuliharaan pantai dan sungai di Terengganu.

“Bagi RMK-12, Terengganu diperuntukkan RM1.55 billion dan melalui RP3 (Rolling Plan) akan ditambah lagi 20 projek baru dalam usaha untuk pastikan muara-muara di Terengganu, 14 (muara) kesemuanya yang agak kritikal.

“Jadi saya fikir sekiranya kita dapat siapkan projek ini, ia akan memastikan kawasan pantai dipulihara dan menjadi tarikan bagi pelancong di samping membantu nelayan kita meningkatkan sumber pendapatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Marang di Dewan Sivik Merchang, di sini semalam.

Dua projek yang dilancarkan melibatkan kos sebanyak RM30.5 juta bagi pemuliharaan Muara Sungai Merchang serta RM15.6 juta bagi pengawalan hakisan pantai di Pantai Marang yang dijangka siap menjelang 2024.

“Bagi masalah hakisan pantai pula, projek sepanjang 2.2 kilometer akan kita laksanakan berikutan kesan hakisan yang menjejaskan rumah penduduk sekitar,” tambahnya.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan kepada nelayan agar bersama kerajaan bagi menjaga kelestarian alam sekitar dan mengelakkan pencemaran dengan tidak membuang plastik sampah, pukat rosak serta sisa minyak kapal di laut.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman; serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.


Tag: