• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kaunter Bergerak DUN Bukit Besi Cetus Dimensi Baru


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN - Idea Institut Modal Insan Sejahtera ( i-Mits) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mencetuskan dimensi baru mewujudkan kaunter bergerak sebagai jambatan menghubung seluruh penduduk DUN itu.

Penyelaras DUN itu, Ghazali Sulaiman berkata, inisiatif itu disambut baik dan mula beroperasi sejak 9 Oktober lalu.

"Kaunter bergerak ini telah dimulakan sejak 9 Oktober yang lalu sebagai insiatif jentera i-Mits bagi memudahkan segala urusan penduduk DUN.


"Alhamdulillah hari pertama beroperasi ianya telah disambut baik oleh seluruh penduduk DUN Bukit Besi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir meninjau kaunter bergera i-Mits, yang hari ini berada di Kampung Minda, di sini, 11 Oktober.

Ghazali berkata, tujuan program itu antara lain supaya perhubungan yang erat antara penduduk dapat terjalin serta segala aduan dan permasalahan yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan secara berperingkat.

"Secara tidak langsung ianya akan memberi imej yang positif bahawa kerajaan amat cakna rakyat.

"Pada kesempatan ini, mereka (penduduk) boleh mengisi segala borang permohonan seperti permohonan e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rancangan Tanah Berkelompok dan juga mengisi borang permohonan bantuan persekolahan melalui 'online'.


"Kehadiran saya di sini adalah bagi menzahirkan bahawa saya sentiasa sedia menjadi mata dan telinga kepada masyarakat," ujarnya.

Di samping itu beliau juga menziarahi dan menumpukan kebajikan penduduk yang tidak berupaya, uzur dan sakit yang melarat serta ditimpa musibah.

"Inilah masanya untuk saya memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat.

"Walau sesibuk manapun, saya akan cuba bagi mendekati masyarakat atau penduduk di sini bagi mendengar segala keluhan dan permasalahan, supaya saya tidak terlepas pandang dalam menggalas tugas sebagai penyelaras DUN Bukit Besi ini," ujarnya.

Di akhirnya beliau berharap dapat melihat keberkesanan i-MiTS untuk mengadakan kaunter bergerak dapat diteruskan secara berkala supaya dapat membentuk perhubungan yang harmoni dengan i-MiTS sebagai agen membantu masyarakat melahirkan perhubungan yang harmoni ke arah maju, berkat dan sejahtera.

Tag: