• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kaunter Bergerak i-MiTS Rantau Abang Pemudah Cara

Orang ramai sedang berurusan dengan kakitangan I-MITS di Surau Kampung Pinang Baru.
Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang mewakili kerajaan negeri turun ke pedalaman sebagai pemudah cara untuk melicinkan urusan komuniti setempat demi memastikan kesejahteraan rakyat.

Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Tuan Shafie Tuan Agil  berkata, ianya bertujuan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan di dalam  menghadapi penggal persekolahan anak-anak akan datang.

"Kerajaan negeri tidak mengabaikan golongan sasar dalam memberi bantuan.

"Saya berharap agar usaha murni ini akan mengeratkan lagi hubungan rakyat dengan kerajaan," ujar beliau.

Tuan Shafie berkata demikian ketika dihubungi pemberita semalam (13 Oktober), mengulas tentang kaunter bergerak i-MiTS untuk membantu penduduk yang tinggal di tiga kampung iaitu Pinang Mas, Pinang Baru dan Kampung Wa mengisi i-dana secara dalam talian.


Sementara itu Penyelia i-MiTS DUN Rantau Abang, Muhammad Fahmi Kamaruddin berkata, kaunter bergerak yang dibuka pada 12 Oktober itu bertujuan untuk memastikan maklumat sampai secara menyeluruh.

"Maklumat tersebut perlu disampaikan kepada semua golongan lebih-lebih lagi orang-orang kampung yang jauh dari bandar," jelasnya.

Menurut Fahmi, untuk kali ini, pihaknya membuka dua kaunter iaitu di Surau Kampung Pinang Baru yang melibatkan penduduk-penduduk Kampung Pinang Baru dan Kampung Pinang Mas.


"Satu lagi di Masjid Kampung Wa melibatkan penduduk Kampung Wa," katanya.

Kaunter bergerak di Delong dan Tok Kah akan dibuka pada hari Jumaat depan.

Program yang mendapat kerjasama Pejabat Agama Daerah Dungun dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) masing-masing itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat.

"Hari Jumaat  ramai orang, kita sediakan borang, maklumat yang kita dapat lebih 'detail'," sambungnya lagi.

Seramai 12 orang kakitangan i-MiTS DUN Rantau Abang terlibat dalam menjayakan program yang bermula dari pukul 11.00 pagi hingga 3.00 petang itu.

Tag: