• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kawasan Pendaratan Helikopter Di Bukit Besi Diceroboh

Ghazali meninjau Sektor Pengkalan Hadapan Mukim Jerangau, di Kampung Tepus, yang dijadikan sebagai lokasi pendaratan helikopter apabila musim banjir berlaku di kawasan itu.

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 21 November- Tempat pendaratan helikopter di Sektor Pengkalan Hadapan Mukim Jerangau di Kampung Tepus, Bukit Besi, di sini sekiranya terputus hubungan apabila banjir, dipercayai diceroboh oleh syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan.

Malah, kawasan yang dibangunkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkenaan juga didapati turut dibina rumah kongsi untuk pekerja syarikat pembalakan berkenaan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tindakan itu tidak wajar berikutan tanah yang menjadi hak milik kerajaan sepatutnya tidak dicerobohi dengan sewenang-wenangnya.

"Kawasan pendaratan helikopter ini memainkan peranan penting apabila berlakunya bencana banjir yang besar apatah lagi jalan-jalan yang menjadi perhubungan utama di kawasan ini terjejas dan terputus hubungan.

"NADMA akan memainkan peranan dengan menggunakan helikopter untuk menyalurkan bantuan serta menjadikan kawasan dataran itu sebagai tempat pendaratan," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melakukan tinjauan di Sektor Pengkalan Hadapan Mukim Jerangau, di Kampung Tepus, di sini, semalam.

Ghazali berkata,  perkara itu (pencerobohan) tidak boleh dipandang remeh  kerana dataran berkenaan perlu sentiasa terkawal dan berkeadaan baik serta siap siaga bagi menghadapi bencana yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

"Kita sekarang ini berada dalam keadaan musim tengkujuh, sebelum ini kita telah mengadakan rundingan dengan syarikat berkenaan. Malangnya mereka menyatakan bahawa bersedia menerima apa jua risiko sekiranya semasa helikopter mendarat mendatangkan kerosakan dan kerugiaan harta benda dan rumah kongsi yang dimiliki mereka.


 "Mereka lebih melihat dari sudut yang mereka hadapi, tanpa memikirkan bahawa helikopter tidak akan mendarat dengan mudah jika tiada ruang yang sesuai untuk mendaratkan helikopter," tegasnya,"katanya.

Beliau turut menerima aduan dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tepus, yang syarikat berkenaan turut memakirkan lori di dataran khas untuk mendaratkan helikopter.

Pada masa yang sama, pihaknya juga mahu syarikat berkenaan membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap nasib penduduk sekiranya bencana banjir melanda kawasan itu.



Tag: