• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

KDNK Sektor Pertanian Meningkat di Terengganu

BESUT, 25 Julai - Keluaran dalam negara kasar (KDNK) sektor pertanian di Terengganu menunjukkan peningkatan berbanding sektor lain sebanyak 7.4 peratus dengan nilai ditambah RM2.9 bilion.

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perancangan dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 juga menunjukkan impak positif.

"Kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkasakan sektor pertanian, penternakan, dan perikanan di Terengganu.

"Tahniah kepada exco yang sentiasa turun padang, UPEN, jabatan-jabatan pertanian, perikanan, veterinar, LKIM, IADA Ketara, MARDI, FAMA, LPP dan lain-lain jabatan yang sentiasa membantu petani dan usahawan kita. 

"Tidak lupa juga khusus ucapan tahniah dan terima kasih saya kepada semua petani, penternak dan nelayan Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Negeri Terengganu dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur Tahun 2024 di Dataran Jabi di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan program untuk meningkatkan produktiviti, kualiti, dan daya saing hasil-hasil pertanian dan perikanan. 

Dalam masa sama, beliau juga berkata semua pihak berkaitan perlu bersedia menghadapi perubahan iklim yang melanda global pada masa kini, menjadi cabaran termasuklah dalam sektor pertanian.

"Perancangan lima tahun berikutnya perlu mengambil kira faktor perubahan iklim seperti El Nino, La Nina serta Monsun Timur Laut. 

"Selain itu, pembangunan maksimum tanah-tanah pertanian harus diberi keutamaan termasuk tanah-tanah pertanian rata-ratanya berada dalam kawasan berisiko,"jelasnya.

Ahmad Samsuri juga menegaskan pembangunan infrastruktur tanah pertanian wajar dipandang serius.

"Ini bagi memastikan ia boleh dimanfaatkan untuk pengeluaran sumber makanan dalam negeri seterusnya merealisasikan visi menjadikan Terengganu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negara," ujar beliau. 


Tag: