• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Kebun Bandar Jana Hasil Lumayan

DUNGUN, 10 September- Siapa sangka tanaman sayur sayuran dalam bandar atau lebih dikenali sebagai kebun bandar mampu menjana hasil yang lumayan kepada yang mengusahakannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura Wan Hapandi Wan Nik berkata, beliau menyokong penuh usaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kubang Miang yang bermuafakat menjayakan projek berkenaan.

"Kesungguhan ahli dan jawatankuasanya menjayakan projek ini telah mengubah imej kawasan terbiar kepada kebun bandar yang bukan sahaja menghasilkan tanaman bebas racun, tetapi memperlihatkan komitmen untuk memajukan projek secara sukarela.. 

“Dalam bandar pun kita boleh bercucuk tanam walaupun tanah yang agak terhad tetapi hasilnya sangat memberangsangkan bukan saja dapat dimakan oleh pengusaha sendiri bahkan boleh dijual kepada kedai di sekitar kawasan Dungun ini,” ujarnya.

Beliau ditemui pemberita ketika membuat lawatan ke kebun bandar di Balairaya Kampung Kubang Miang, baru-baru ini. 

Katanya, projek tersebut turut mendapat perhatian dan bimbingan dari Jabatan Pertanian Negeri Terengganu. 

Menurut Wan Hapandi lagi, kebun bandar ini mampu mengawal impak karbon serta menyediakan persekitaran selesa dan harmoni. 

"Amalan pertanian bandar yang biasanya hanya dapat dilihat di kampung dapat dihidupkan di kawasan kediaman yang terletak di tengah tengah bandar ini dengan muafakat bersama. 

“Kerajaan juga ada menyediakan beberapa bantuan dan sokongan untuk sesiapa yang ingin memulakan bidang pertanian ini, dan kalau dibuat bersungguh sungguh, saya yakin kita mampu mengubah sesebuah kawasan itu menjadi kebun bandar sekaligus bandar bersih dan hijau”. katanya.

 


Tag: