• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kejayaan TSG Bukti Usaha Kerajaan Tidak Sia-Sia



Kejayaan Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG) melakar sejarah muncul juara keseluruhan buat pertama kali selepas 22 tahun penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL), membuktikan usaha kerajaan Terengganu terhadap pembangunan sukan berbasikal tidak sia-sia.

Menteri Besar  Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata,  selaku pemimpin nombor satu negeri itu, beliau sangat berbangga dengan pencapaian pasukan TSG, malah rakyat Terengganu khususnya dan rakyat Malaysia amnya, juga amat gembira dengan kemenangan tersebut.

"Setelah 22 tahun kita tunggu, hari ini dapat mencipta sejarah dan dicipta pasukan TSG. Sudah pasti kerajaan Terengganu akan memperkasakan lagi sukan berbasikal. Kita akan terus membantu pasukan dalam mencari bakat baharu.

“Saya percaya kejayaan Ovechkin  akan membakar semangat pelumba tempatan dalam pasukan TSG untuk melakar kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya kepada Bernama  di Kuala Lumpur.

Kejayaan pelumba Rusia, Artem Ovechkin memenangi jersi kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan untuk pasukan Malaysia, menutup saingan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang melabuhkan tirainya di Dataran Merdeka, semalam.

Tiada sasaran diletakkan kepada pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) itu, namun beliau membuktikan kerjasama berpasukan yang erat selain sokongan padu daripada kerajaan negeri Terengganu yang membuat pelaburan besar terhadap TSG, jelas membuahkan hasil positif.

Untuk rekod, Ovechkin merupakan pelumba pertama yang meraih jersi kuning untuk pasukan Malaysia sejak pengenalan LTdL pada 1996.

Dalam pada itu, pelumba Itali kembali menguasai jersi hijau selaku Raja Pecut dengan pelumba pasukan Bardiani-CSF, Andrea Guardini menyambar jersi berkenaan buat kali keempat setelah memenangi jersi berkenaan sebanyak tiga kali sebelum ini - 2011, 2012 dan 2016.- Bernama


Tag: