• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kejohanan Bola Sepak Serlah Kemampuan Anak Muda Mengurus

Alias Harun (dua dari kanan) bergambar dengan pasukan bertanding.
Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 7 Februari - Kejohanan bola sepak telah membuktikan bahawa orang muda berkemampuan mengurus satu kejohanan sukan yang besar dan berkonsepkan patuh syariah. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun memuji sikap saling bekerjasama mereka sehingga berjaya mengendalikan kejohanan yang disertai oleh 34 pasukan dari seluruh Terengganu.

Ujarnya, beliau juga berpuas hati dengan semua pemain dan juga penganjur yang menyahut seruan Kerajaan Terengganu untuk membudayakan amalan menutup aurat ketika bersukan.

"Alhamdulillah semua pemain berpakaian menutup aurat dalam pertandingan ini, pemain-pemain menjadikan Islam sebagai panduan.

"Mereka juga menyahut seruan kerajaan Terengganu dan melaksanakan patuh syariah dalam bersukan," ujarnya.
Alias Harun merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah.
Beliau yang juga merupakan Pengarah Majlis Tindakan DUN berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Burung Baru di sini semalam.

Menurut Pengerusi MPKK Burung Baru, Mat Zaik Mahmood, kejohanan tersebut disertai dan dikendalikan sepenuhnya oleh anak muda termasuk urusan promosi.

Beliau turut berharap agar penganjur menjadikan kejohanan itu sebagai acara tahunan bagi MPKK Burung Baru.

"Kita yang berumur ini hanya memantau dan memberi pandangan jika diperlukan.

“Semoga acara yang dianjurkan ini berterusan, menjadi acara tahunan buat kita di sini,” ujarnya.
Pasukan D'Spex merangkul gelaran juara.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu bermula pada 5 Februari dan berakhir pada 6 Februari menyaksikan pasukan D'Spex bergelar juara, manakala Restu Bonda yang mewakili Kampung Burung Baru di tempat kedua dan Seri Bangun di tempat ketiga.




Tag: