• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di Pertuan Muda Terengganu 7 Hingga 9 Oktober Ini

Ahmad Razif bersalaman dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Zulkifli Abu Bakar sebaik sahaja selesai mengangkat sumpah jawatan  Datuk Bandar itu, di Wisma Darul Iman, hari ini.


Buat julung kali kerajaan negeri dengan kerjasama Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) akan menganjurkan Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di Pertuan Muda Terengganu di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, Setiu pada 7 hingga 9 Oktober ini.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kejohanan itu dianjurkan bagi meneruskan sinergi kecemerlangan sukan lasak berkuda di Terengganu disamping dijadikan platform kelayakan ke Kejohanan FEI World Endurance Championship.

“Kejohanan pertama kali dianjurkan ini bakal meneruskan kesinambungan kejayaan penganjuran sukan berkuda seperti FEI World Endurance Championship pada tahun 2008 dan kejohanan tahunan Sultan Mizan Cup.

“Malah, secara tidak langsung berupaya menonjolkan destinasi pelancongan menarik di negeri ini sekali gus sebagai platform kepada promosi awal kempen Tahun Melawat Terengganu 2017,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Datuk Bandar Dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, ianya juga sebagai pra-persediaan menghadapi kejohanan kuda lasak sempena Sukan SEA Ke- 17, apabila lokasi yang sama menjadi venue sukan berkuda di negara ini.

Menurut beliau, dalam mencetus kesedaran baru kepada trasformasi pembangunan  sukan di negeri ini agar menyuntik minat kepada generasi remaja dan belia menceburi sukan berkuda, elemen hiburan dan santai akan turut disediakan bagi penglibatan pelbagai peringkat usia sebagai satu tarikan.
"Selain acara utama iaitu perlumbaan kuda lasak, aktiviti lain turut disediakan seperti pertandingan mewarna model kuda untuk pelajar dan kanak-kanak," jelasnya.
Katanya, turut diadakan pada hari itu ialah demonstrasi dan pertandingan memanah berkuda tradisional, pertandingan kuda cantik (kuda kampung), kejohanan sepak takraw dan bola tampar tertutup Terengganu, sukan tradisional dan pelbagai acara menarik yang lain.

Tag: