SETIU, 28 Julai- DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu yang menutup tirainya, hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Tengku Sri Setia Mahkota Raja pada jam 9.00 pagi disambut Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
Hadir sama menyambut keberangkatan tiba Baginda adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Bdan Bukan Kerajaan (NGO, Hishamuddin Abdul Karim.
Dalam majlis di Terengganu International Endurance Park (TIEP) itu, Pasukan KAET Singapore dinobatkan sebagai juara.
Pasukan tersebut membawa pulang hadiah berupa piala, pingat dan wang tunai bernilai RM7,500.
Sementara itu, bagi kategori individu penunggang Pasukan Endurance Negeri Terengganu (STET), Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Saa'ri mengungguli acara utama CEI 120km dengan catatan 6:05:05 jam.
Beliau menerima hadiah piala, pingat dan wang tunai berjumlah RM9,075.
Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang di-Pertuan Muda Terengganu berlangsung selama tiga hari dengan menampilkan lebih 200 penunggang yang bersaing melibatkan empat kategori perlumbaan.
Selain itu, ia turut disertai lima buah pasukan luar negara dari iaitu Singapura, China, Indonesia, Belarus dan Thailand.