• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kejohanan Sirkit Silat 1S1S Cungkil Bakat Baru

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - 'Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya' itulah tema Kejohanan Sirkit Satu Sekolah Satu Silat (1S1S) Peringkat Negeri Terengganu 2022 yang diadakan bagi mencungkil bakat baru dalam dunia seni persilatan tanah air.

Kejohanan yang diadakan selama tiga hari bermula 4 Ogos lalu diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu melibatkan semua sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu termasuk sekolah vokasional dan teknik.

Kejohanan sirkit silat tersebut dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Dan Kecergasan Wilayah Perdana (KRKWP) dengan sokongan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Mohamad Abdullah, 40 tahun yang ditemui pemberita ditempat kejohanan memberitahu bahawa siri kejohanan seperti ini perlu diperbanyakkan bagi menyemarakkan semangat dan rasa cinta generasi muda terhadap warisan budaya dan bangsa.

"Perlu dibuka ruang dan peluang kepada pesilat yang baru berjinak dalam arena ini jika mahu melihat sukan ini terus maju dan seterusnya menjadi pelapis kepada atlet yang sedia ada," katanya.

Mohamad merupakan salah seorang jurulatih daripada kontinjen SMA Al Falah, Kemaman yang turut menyertai sirkit silat kali ini mengharapkan perkara tersebut mendapat perhatian daripada pihak terlibat.


Tag: