• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Kekalkan Keindahan Semula Jadi Lokasi Perkelahan 'Lubuk Kain'

Haji Ghazali Sulaiman turun padang meninjau keadaan Lubuk Kain Sungai Bagan.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN - Keindahan semula jadi Lubuk Kain Sungai Bagan harus dikekalkan untuk manfaat bersama.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman mengingatkan kepada pengunjung agar mempunyai kesedaran memelihara keindahan sungai dengan sebaiknya.

"Lokaliti sungai ini yang berada di dalam hutan jauh dari kesibukan.

"Ianya menjadikan tempat tersebut tumpuan utama pengunjung dari dalam dan luar negeri, cuma aspek kebersihan amat perlu dijaga," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatannya ke lokasi perkelahan itu bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Shukor, semalam (26 Ogos).

"Lokasi perkelahan ini akan dilihat penuh sesak apabila cuti persekolahan.

"Pengunjung yang begitu ramai akan datang ke sini samada cuti umum ataupun cuti am," jelasnya.

Menurut beliau, kerjasama dari pengunjung amat diperlukan bagi mengekalkan kelestarian tempat rekreasi dan perkelahan terkenal itu.

Tambahnya, beberapa langkah telah dikenal pasti untuk diambil tindakan segera.

"Di antaranya ialah dengan menambah bilangan tong sampah dan  meletak papan tanda amaran sebagai peringatan kepada pengunjung agar tidak membuang sampah sewenang-wenangnya.

"Di samping itu, kita telah menerima aduan daripada banyak pihak tentang ketiadaan surau menyebabkan pengunjung sukar beribadah.

"Mereka terpaksa mencari masjid yang jauh, justeru, pembinaan surau akan dilaksanakan sesegera mungkin," jelasnya.

Di samping itu, bagi merelevankan fungsinya sebagai tempat yang berpotensi menjadi tempat pelancongan yang menarik, langkah drastik untuk membaik pulih tandas awam dan juga tempat bersalin adalah perlu.

"Bagi memastikan lokasi ini terjamin, terjaga serta selesa, saya telah berbincang dengan Ahli Jawatankuasa MPKK.


"Kita akan kenakan sedikit bayaran bagi menampung segala kos bagi kebersihan dan juga sebagai langkah bagi memajukan lokasi perkelahan ini," ucapnya.

Di antara perkara yang perlu disegerakan ialah menyediakan ruang parkir khas kenderaan agar dapat menampung jumlah pengunjung yang ramai dalam satu-satu masa.

Beliau cukup berkeyakinan jika pengunjung mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kebersihan alam sekitar, lokasi rekreasi dan perkelahan itu akan mampu menjadi hub pelancongan yang terkemuka di Negeri Terengganu.

Sehubungan itu, Setiausaha MPKK Shukor, Tengku Ahmad Tengku Zainal menyatakan komuniti kampung telah bersepakat mengadakan gotong-royong bagi memastikan lokasi tersebut bersih bagi persiapan menerima pengunjung yang ramai pada hari cuti sempena kemerdekaan nanti.

"Ini bagi memastikan pengunjung akan merasai keselesaan berkelah dalam keadaan tenang dan bersih tanpa pemandangan yang menyakitkan mata," ucapnya.


Menurutnya, sejak kawasan itu dibuka dan diteroka pada 10 tahun yang lalu, ianya semakin meanrik dan mencuri tumpuan sehingga membuka peluang kepada penduduk setempat untuk berniaga makanan dan minuman.

"Sesiapa yang belum datang saya sarankan agar datanglah berkunjung.

"Ianya akan menjadi pengalaman yang berharga kerana kecantikan dan keindahan semula jadinya yang tiada di tempat lain," ucapnya.

Pengunjung yang datang boleh menyewa pelampung yang disediakan untuk mandi manda dengan harga yang amat berpatutan.

Turut hadir, Pembantu Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi, Mohd Noor Azian dan Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Shukor, Che Wan Badri Che Wan Hassan.



Tag: