• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kekalkan Sokongan Kepada Kerajaan

DUNGUN, 16 Mei- Rakyat Terengganu diminta mengekalkan sokongan kepada kerajaan yang memerintah ketika ini agar agenda yang belum terlaksana dapat disempurnakan.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, kerajaan negeri telah membina agenda dalam satu pelan induk yang diberi nama Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) yang merangkumi setiap komponen dalam pembangunan Negeri Terengganu. 

"Semua aspek sudah ada dan sebahagiannya telah dilaksanakan dan kita telah buktikan dalam janji 20 manifesto telah kita tunaikan. 

"Termasuk yang berkait dengan soal tanah, kepentingan kesihatan dengan Kad Sejahteranya, bidang perumahan dengan i-Rahman, 

"Memberi satu pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang layak secara Al-Qardul Al-Hassan, kepada orang muda - muda, kita ambil tanggungjawab, lesen motor dan keperluan asas, air percuma," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Cakna Komuniti Wilayah Lembaga Kemajuan Trengganu Tengah (KETENGAH) di Masjid Serdang di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Ketua Pegawai Eksekutif KETENGAH Holding Sdn. Bhd, Mohd. Zaid Sulaiman dan wakil Ahli Parlimen Dungun, Mohd Amin Hamid. 

Pada majlis tersebut seramai 50 orang telah menerima sumbangan bakul makanan manakala 30 orang mahasiswa menerima komputer riba yang disumbangkan oleh KETENGAH.

Sementara itu Alias berterima kasih kerana pengurusan KETENGAH telah memilih DUN Rantau Abang untuk program tersebut.

"Penerima-penerima adalah daripada lapan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) iaitu Serdang, Delong, Bukit Merah, Burung Baru, Padang Pulut, Kampung Wa, Pinang Baru dan Ladang Pinang Mas  terpilih, menjayakan hari ini sebanyak RM170, 000 telah diperuntukkan oleh pihak KETENGAH untuk program hari ini," katanya. 

Sebelum itu, beliau telah menziarahi lima buah rumah orang sakit sambil menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mereka.

Orang ramai yang hadir turut berpeluang melakukan rawatan kesihatan dan menukar minyak hitam motosikal .


Tag: