• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kelab Ibu Tunggal Tingkat Kendiri Wanita


Oleh: Sulaiman, Adli Mohamad

DUNGUN, 18 Disember - Ibu-ibu tunggal digalakkan bekerjasama dalam Kelab ibu Tunggal agar nasib mereka terbela.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Siti Zaliha Mohd berkata, dengan menyertai persatuan akan memudahkan urusan pihak yang berwajib untuk membantu.

"Ibu tunggal perlu berdikari bagi mengharungi kehidupan yang penuh ranjau. Adalah menjadi hasrat kami agar ibu tunggal setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat pembelaan yang sewajarnya dengan penubuhan kelab ini.

"Menjadi ibu tunggal bukanlah satu pilihan. Namun takdir telah menentukan segala yang dihadapi bagi menguji keimanan menjadi wanita yang tabah menjalani kehidupan," katanya ketika dihubungi kelmarin.



Menurut Siti Zaliha, dalam meningkatkan ekonomi dan memenuhi segala keperluan, ibu tunggal boleh melibatkan diri dalam bidang keusahawanan melalui peluang dan bantuan yang disediakan pihak kelab.

"Antara perniagaan yang boleh diceburi ialah perniagaan berasaskan 'frozen', katering, jahitan serta kemahiran urutan dan kecantikan.

"Ibu tunggal boleh membuat pinjaman melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional dan sebagainya.

"Kami berharap Kelab Ibu Tunggal akan terus maju dan hebat tanpa dipandang negatif oleh masyarakat," jelasnya.


Tag: