• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Keluhan Dari Hospital, Cetuskan Rumah Terapi

KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Siapa sangka hanya bermula dengan cetusan kumpulan whatsapp daripada perkenalan dan pertemuan yang tidak dirancang di hospital dan klinik pakar, ibu-ibu yang mempunyai anak penghidap Cerebral Palsy (CP) kini bakal menikmati kemudahan rumah terapi untuk anak-anak syurga berkenaan.

Mereka kini bukan hanya dapat berkongsi rasa yang sama, bahkan dapat berkongsi kemahiran serta meluangkan masa melatih anak-anak istimewa mereka. Bertempat di Kampung Kubang Durian, Gelugor Kedai, istimewanya rumah terapi ini adalah ia merupakan hasil gabungan dan kerjasama banyak pihak.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali menyifatkan, program hari ini sangat bermakna buatnya lebih-lebih lagi semua perhatian tertumpu kepada anak-anak syurga tersebut, mengingatkan manusia agar menerima takdir Allah dan meraikan mereka agar menjadi saham buat semua khususnya ibu bapa.

“Apa yang istimewa dalam program ini bagi saya adalah melihat gabungan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, komuniti, NGO (badan bukan kerajaan), agensi kerajaan dan banyak lagi pihak yang terlibat dalam usaha yang sangat mulia ini.

“Kesemuanya memberikan perhatian khusus kepada anak istimewa ini. Ibu bapa anak-anak ini justeru adalah ibu bapa yang hebat, mencari solusi dalam kesulitan dan ujian yang mereka alami,” katanya ketika berucap merasmikan Rumah Terapi Seni Anak Permata Syurga Terengganu anjuran Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga Terengganu di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To’ Puan Zarani Othman yang juga Pengerusi Mawaddah Terengganu, To' Puan Nurul Izzati Mat Jusoh, Dekan Fakulti Sosial Sains Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Norizan Abdul Ghani, Pengarah Kolej Komuniti Terengganu, Ali Mamat, Ketua Inspektor Penjara Marang, Wan Shamsul dan Pengerusi Jabatan Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kubang Durian, Razali Mohd.

Dalam perkembangan sama, jelasnya, CP adalah suatu penyakit yang sukar ditangani dan lebih kritikal berbanding penyakit kurang upaya kanak-kanak yang lain, justeru beliau kagum dengan kesungguhan pihak persatuan menjadikan hasrat rumah terapi mereka benar-benar direalisasikan.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan usaha yang sangat baik ini. Kerajaan negeri juga sehingga kini menyediakan bantuan bagi golongan kurang upaya ini demi membina rakyat Terengganu yang sejahtera.

“Apa yang penting ialah kita tidak mahu ada masyarakat kita yang terpinggir dan pemulihan kepada mereka yang bermasalah sentiasa berjalan,” ujarnya.

Yahaya turut menyumbangkan RM3,000 bagi membangunkan rumah terapi tersebut serta menyampaikan sijil tamat belajar menjahit kepada ibu-ibu anak permata syurga.

Tambah beliau, harapannya adalah usaha ini dapat dikembangkan lagi dari semasa ke semasa.


Tag: