• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Kem Hafazan Lahir Generasi Huffaz

Sebahagian kanak-kanak yang mengikuti Kem Hafazan Surah Lazim Siri 1/2018, Masjid Kampung Bukit Perah, baru- baru ini.


 Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU 25 Disember- Kem hafazan merupakan salah satu interaktif terbaik bagi meningkatkan ingatan serta hafalan untuk melahirkan generasi huffaz pada masa akan datang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, kem ini merupakan satu kaedah untuk menarik minat anak- anak untuk menghafal ayat- ayat suci Al- Quran.

"Alhamdulillah kem hafazan ini merupakan satu cetusan idea yang sangat bagus untuk mempersiapkan diri anak- anak kita semua dengan hafalan surah- surah lazim.

"Ini merupakan satu daripada proses latihan untuk melatih diri mereka menghidupkan ayat-ayat Al- Quran dalam diri mereka dengan bukan sekadar dibaca tetapi dihafal dan diulang untuk memberi manfaat jangka masa panjang untuk diri sendiri," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika merasmikan penutup Kem Hafazan Surah Lazim Siri 1/2018 bertempat di Masjid Kampung Bukit Perah, baru- baru ini.


Menurutnya, anak- anak muda terutamanya remaja kurang meminati serta menghadirkan diri dalam program sebegini kerana malu untuk berdepan dengan masyarakat.

"Rata-rata anak muda sekarang ini kurang minat kepada proses pembelajaran dan hafalan Al- Quran kecuali mereka yang berada di pusat- pusat  yang menghidupkan ilmu Al- Quran seperti di sekolah- sekolah agama dan madrasah.

"Jadi kita perlu ‘upgrade’ terutamanya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta Ahli Jawatankuasa Masjid perlu berusaha menarik orang- orang muda supaya minat dengan kem seumpama ini kepada peringkat- peringkat menengah.

"Sebab itu kerjasama yang jitu antara MPKK serta Jawatankuasa Masjid sangat penting bagi merealisasikan slogan negeri ini bagi mewujudkan Terengganu, Maju, Berkat dan Sejahtera,”katanya lagi.

Sementara itu, MPKK Kampung Bukit Perah, Abdul Karim Abdullah berkata penyertaan peserta melebihi jangkaan iaitu seramai 75 orang serta berharap dapat diteruskan pada tahun hadapan.

"Alhamdulillah kita mendapat penyertaan yang begitu ramai sehingga ada yang mahu turut serta pada saat- saat akhir.

"Kita juga berharap ibu bapa sentiasa memastikan anak- anak mereka mengulangi hafalan supaya dapat memantapkan bacaan mereka," katanya.



Tag: