KEMAMAN, 29 Oktober -Kemaman menjadi daerah pertama di Terengganu dalam Pembangunan Taman Kenderaan Rekreasi yang kini beroperasi di Pantai Marina, Telok Kalong.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat berkata, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama PLANMalaysia dalam menjayakan cadangan pembangunan tapak ini.
"Selain di Pantai Marina, beberapa tapak lain juga sedang dirancang dan dibangunkan di lokasi tumpuan pelancong seperti Taman Awam Kerteh.
"Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah untuk mewujudkan rangkaian lokasi rekreasi berkualiti di sepanjang pesisir pantai Terengganu, yang berpotensi menarik pelancong domestik dan antarabangsa," katanya ketika merasmikan tapak tersebut, baru-baru ini.
Tambah beliau, pembangunan kawasan rekreasi seperti ini bukan sekadar menyediakan ruang untuk beriadah, tetapi lebih daripada itu.
"Ia merupakan simbol keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kualiti hidup masyarakat. PLANMalaysia sentiasa menekankan pendekatan perancangan berasaskan komuniti, agar setiap projek yang dirancang benar-benar memberi nilai tambah kepada rakyat, memelihara alam sekitar, dan menyumbang kepada kesejahteraan bandar serta luar bandar," ujarnya.
Hanafiah turut merakamkan penghargaan kepada pihak MPK, atas komitmen tinggi dalam memastikan projek ini dapat direalisasikan.
"Tidak lupa juga kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
"Saya amat menghargai usaha dan dedikasi yang kalian tunjukkan," katanya.
