• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kemasik Buat Persiapan Awal Hadapi Banjir

Penduduk bekerjasama mengangkut barang untuk disimpan di pusat pemindahan di Balai Raya Kg Labohan, Kerteh.


Oleh: Ahmad Syahid Adnan

KEMAMAN, 7 November - Penduduk bersama jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik bergotong-royong mengangkat dan menyimpan barang keperluan mangsa banjir di pusat pemindahan sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh, sejak Ahad lalu.

Terdapat lima pusat pemindahan sementara banjir di Kemasik, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Balai Raya Kampung (Kg) Labohan, Dewan Orang Ramai Kg Pengkalan Ranggon, Masjid Batu Putih di Kg Batu Putih dan di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Chabang.

Pengerusi MPKK Kg Labohan, Mohd Nor Abd Samad berkata, pengagihan barang keperluan harian kepada mangsa daripada agensi seperti Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan diagihkan menerusi jawatankuasa MPKK setiap kampung terlibat supaya berjalan lancar.


"Banjir di Kg Labohan ini adalah (berkadar) serta-merta, jadi dengan bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara  ini, dapat kita berikan kepada yang memerlukan dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Balai Raya Kg Labohan, Kerteh, di sini, semalam.

Mohd Nor berkata, MPKK juga akan segera menghubungi pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik sekiranya berlaku sebarang masalah pada masa akan datang supaya semua mangsa yang terlibat mendapat pembelaan sewajarnya.



"Ribuan terima kasih juga diucapkan, khususnya kepada YB (Yang Berhormat) ADUN Kemasik (Ir Saiful Azmi Suhaili) dan JKM Kemaman kerana terus komited menjalankan tugas di musim banjir untuk kemudahan penduduk kampung," katanya.

Sebelum itu, MPK turut mengagihkan bantuan yang sama di Dewan Orang Ramai Kg Pengkalan Ranggon dan Masjid Batu Putih di Kg Batu Putih.

Pengagihan barang untuk persiapan awal banjir di Dewan Orang Ramai Kg Pengkalan Ranggon.

Tag: