Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
Kemasik Perlu Dibangunkan Sebagai Hab Penerbangan dan Pusat Teknologi
KUALA TERENGGANU, 19 November – Dalam usaha memperkasakan ekonomi Terengganu, kerajaan negeri dicadangkan menggunakan strategi inovatif untuk membangunkan kawasan Kemasik sebagai hab penerbangan berskala sederhana dan pusat teknologi masa depan.
Ahli Dewan Undangan negeri ( ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, usaha ini selari dengan Fokus Ke-4 Belanjawan Terengganu 2025 iaitu Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Saing.
Katanya, keupayaan jaringan pengangkutan darat dan laut, terutama berhampiran Kerteh Supply Base (KSB), menjadikan lokasinya amat strategik.
“Kemasik mempunyai lapangan terbang yang lengkap bagi pelaburan segmen penerbangan berskala sederhana dan peluang-peluang yang ada.
“Antaranya dalam Industri drone yang bakal menjadi salah satu daripada alternatif baharu bidang udara dalam segmen pengangkutan (teksi udara, kargo udara), pemantauan, pemeriksaan, pencegahan, keselamatan dan lain-lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam pembahasan bajet 2025 pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurutnya, inisiatif ini dilihat mampu menarik pelabur tempatan dan antarabangsa dengan potensi besar seperti projek teksi udara AirAsia yang dijangka beroperasi pada tahun 2025, serta kolaborasi PETRONAS dan Aerodyne dalam solusi drone.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan pembangunan kawasan Transit-Oriented Development (TOD) berhampiran stesen ECRL sebagai bandar moden berkonsepkan Qalbul Madinah.
“TOD Kemasik jadi Bandar Masa Depan dengan konsep Pembangunan berkonsepkan Qalbul Madena dimana jantung yang merupakan organ utama badan manusia dan QALBUN MEDINA dijangka akan menjadi Bandar Baharu yang akan menawarkan gaya hidup mampan serta moden.
“Keperluan utama bagi pembangunan ini sudah pasti tidak lari dari keupayaan siber yang tinggi dan juga pusat penyelidikan toknologi dan pembangunan.
“Institusi Pendidikan dan penyelidikan termasuk TATIUC boleh menjadi institusi negeri yang berperanan besar membantu mempercepatkan lagi usaha merealisasikan sasaran ini,” katanya.
Tambahnya, konsep pembangunan Qalbul Madinah menekankan kepada integrasi teknologi siber dalam pelbagai aspek kehidupan.
Justeru itu, beliau yakin bandar ini akan menawarkan gaya hidup mampan, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri
“Dengan lokasi strategik yang menghubungkan pengangkutan darat dan laut, TOD Kemasik dijangka menjadi pusat kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi.
“Institusi pendidikan seperti TATIUC dicadangkan untuk memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam melahirkan tenaga pakar bagi mempercepatkan pembangunan kawasan ini,” tambah beliau.
Justeru itu, beliau berharap kerajaan negeri akan memberi perhatian kepada peluang-peluang strategik ini untuk memastikan hasil daripada Belanjawan 2025 dapat memberi impak maksimum kepada pembangunan kawasan dan rakyat.